NEW YORK – Kebanyakan kedai pakaian cuba untuk mengorak langkah dalam mencari solusi bagi mengatasi isu berhubung mengenai kesukaran pelanggan untuk mendapatkan saiz yang tepat ketika membeli pakaian secara online.
Pihak peruncit telah mula melancarkan alat bantuan yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyerupai khidmat bantuan yang sama diberikan oleh jurujual di kedai yang memberikan bantuan nasihat, memberi anggaran kiraan saiz badan pelanggan berdasarkan kepada maklumat ukuran tinggi dan badan mereka di samping juga turut menyediakan model virtual berbentuk 3D.
Ramai pihak penganalisis juga menganggarkan bahawa dengan aplikasi terbaru ini setentunya akan memberikan saingan terbaru kepada syarikat pengeluaran pakaian terkemuka dunia, Macy.
Di samping itu, pihak peruncit juga berhasrat untuk dapat mengurangkan kadar pengembalian barangan yang dibeli secara online di mana dianggarkan sebanyak 40 peratus sekaligus menerbitkan suasana membeli-belah secara lebih harmoni dan berpotensi untuk menjadikan mereka sebagai pelanggan tetap.
Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Fits Me, Vicky Zadeh yang turut bekerjasama dengan QVC dan beberapa jenama pakaian terkemuka menjelaskan bahawa lebih kerap interaksi pelanggan bersama dengan sesuatu jenama melalui teknologi ini setentunya secara tidak langsung akan meningkatkan pengetahuan penjual terhadap keinginan para pembeli.
“Kejayaan tersebut setentunya akan boleh diraih melalui kepercayaan dan dengan kepercayaan yang diberikan oleh pembeli setentunya secara tidak langsung akan meyakinkan mereka untuk terus membeli-belah di sesebuah kedai,” jelas Zadeh.
Pendapat tersebut juga mendapat sokongan daripada beberapa nama jenama terkemuka seperti Levi dan The Gap serta beberapa jenama pakaian baru seperti Rhone dan Taylrd.
Presiden e-perdagangan antarabangsa Levi, Marc Rosen menjelaskan bahawa ujian yangdilakukan terhadap teknologi itu dikatakan dapat menarik minat pembeli untuk terus membeli-belah.
Rakuten Fits Me yang bekerjasama dengan QVC dan beberapa buah syarikat lain menjangkakan bakal melancarkan teknologi terbaru itu menjelang musim panas akan datang dan memastikan bahawa ia dapat membantu para pembeli untuk mendapatkan saiz pakaian yang betul ketika melakukan sebarang aktiviti membeli-belah.
Para pembeli hanya perlu untuk memasukkan informasi mengenai ukuran badan pembeli merangkumi ketinggian, berat dan umur di mana mesin tersebut akan mengira sendiri dan membayangkan ukuran badan seseorang pembeli tersebut.
Gap Inc. juga memiliki aplikasi pintar atas kerjasama dengan Google dan Avametric di mana ia membenarkan pelanggan untuk mencuba pakaian secara virtual. Para pembeli boleh memasukkan sendiri maklumat peribadi mereka seperti berat dan ketinggian badan mereka di mana aplikasi tersebut akan memberikan lakaran model 3D namun ia hanya dapat digunakan bagi pengguna telefon pintar Google Tango.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan di Gap menjelaskan bahawa aplikasi yang mereka perkenalkan itu telah berjaya mendapat respon yang positif daripada pelanggan.
Sementara jenama terkemuka, Tommy Hilfiger juga turut membina aplikasi telefon pintar dengan bantuan gambar yang diberikan di mana para pelanggan boleh mencuba pakaian yang hendak dibeli itu pada model virtual yang ditampilkan.
Ketua Syarikat di Red Giraffe Advisors, Sapna Shah juga menjelaskan bahawa kebanyakan syarikat kini semakin teruja untuk menggunakan peralatan pintar baru namun ia masih pada tahap yang kurang jelas.
“Aplikasi khusus yang boleh diyakini wajar untuk diwujudkan bagi memudahkan pelanggan membeli-belah secara online di masa hadapan,” jelas Shah.
Cabaran utama yang wajar dihadapi oleh para peniaga adalah untuk memenangi hati para pelanggan yang lebih selesa untuk menilai sesuatu benda dengan memegang dan melihatnya sendiri sebelum membuat keputusan untuk membeli.
“Kemajuan teknologi memang merupakan satu perkembangan yang cukup baik namun saya masih ragu untuk menggunakannya dan lebih selesa untuk mencuba di badan saya sendiri sesuatu pakaian itu di kedai sebelum membuat keputusan untuk membelinya,” jelas Doug Garnett yang berasal dari Portland, Oregon.
Syarikat yang membina teknologi ini juga menampilkan ciri menarik seperti Echo Loo pandangan yang diberikan oleh pakar perunding gaya sekaligus memberikan cadangan kepada pelanggan sama ada ia sesuai untuk digayakan atau tidak. Lebih menarik lagi apabila ciri Body Labs iaitu menyediakan ukuran model badan yang dilengkapi dengan sistem 3D yang sangat meyakinkan.
“Kami sentiasa prihatin akan kehendak pelanggan dan cuba untuk terus menampilkan inovasi sekaligus membuatkan produk yang ditawarkan itu akan kelihatan cukup menarik,” jelas wakil dari Amazon, Molly Wade. – AP