Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan paras kemasinan air jejas tanaman, ternakan di Iraq

    BASRAH – Petani Iraq, Umm Ali, menyaksikan ternakan unggasnya mati apabila paras kemasinan di selatan negara itu meningkat ke tahap tertinggi, menjadikan air yang sudah sedia terhad tidak lagi sesuai untuk diminum dan turut membunuh haiwan ternakan.

    “Kami dulu minum, membasuh dan memasak dengan air sungai, tapi sekarang ia menyakiti kami,” kata Umm Ali, 40 tahun, yang tinggal di kawasan paya Al-Mashab di wilayah Basrah.

    Musim ini sahaja, air payau telah membunuh puluhan itik dan 15 ekor ayam peliharaannya.

    “Saya menangis dan berduka, seolah-olah semua kerja keras saya sia-sia,” kata ibu tunggal kepada tiga orang anak itu.

    Iraq, sebuah negara yang terjejas teruk akibat perubahan iklim, telah mengalami kemarau dan hujan yang rendah selama bertahun-tahun. Penurunan aliran air tawar telah meningkatkan paras garam dan pencemaran, terutamanya di selatan tempat Sungai Tigris dan Furat bertemu sebelum mengalir ke Teluk.

    Seorang lelaki memegang segenggam buah kurma rosak di ladang tanaman terjejas akibat kemasinan air yang tinggi. – AFP
    Selama bertahun-tahun, Iraq terjejas teruk oleh perubahan iklim dengan dilanda kemarau, hujan yang sedikit dan aliran sungai yang berkurangan. – AFP
    Maryam Salman duduk bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun, Zainab, yang menghidap masalah kulit akibat paras kemasinan yang tinggi dalam bekalan air tempatan. – AFP
    Sebuah besen diletakkan di bawah paip yang disambungkan kepada jaringan paip air daripada pelbagai sumber. – AFP
    Seorang budak lelaki membantu memberi makan kerbau peliharaan milik penternak di kawasan paya utara Basra, selatan Iraq. – AFP

    Jurucakap Kementerian Air Iraq, Khaled Shamal, berkata paras kemasinan kini paling tinggi dalam tempoh 89 tahun. Bulan lalu, paras kemasinan di Basrah mencatatkan sekitar 29,000 bahagian per juta (ppm), berbanding 2,600 ppm tahun sebelumnya. Menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat, air tawar sepatutnya mengandungi kurang daripada 1,000 ppm garam terlarut, manakala air laut sekitar 35,000 ppm.

    KERBAU MATI

    Sungai Tigris dan Furat bertemu di Shatt al-Arab di Basrah “dengan membawa pencemaran yang terkumpul sepanjang laluannya,” kata pakar dari Universiti Kufa, Hasan al-Khateeb.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, paras air Sungai Furat jatuh ke paras terendah dalam beberapa dekad, dan takungan buatan manusia di Iraq turut berada pada paras terendah dalam sejarah moden.

    Khateeb memberi amaran bahawa paras air Shatt al-Arab telah menjunam dan gagal menahan kemasukan air laut dari Teluk.

    Petani Zulaykha Hashem, 60 tahun, berkata air di kawasan tersebut menjadi terlalu payau tahun ini, menyebabkan dia terpaksa menunggu keadaan pulih untuk menyiram tanaman buah delima, tin dan beri. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir satu perempat wanita di Basrah dan wilayah sekitarnya bekerja dalam sektor pertanian.

    “Kami pun tidak boleh pergi ke mana-mana. Ke mana kami mahu pergi?” kata Hashem, menggambarkan nasib ramai petani yang terperangkap dalam kitaran krisis air.

    Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB memberi amaran bahawa peningkatan kemasinan air sedang memusnahkan tanaman kurma, pokok sitrus dan tanaman lain.

    Sehingga Oktober tahun lalu, kira-kira 170,000 orang telah dipindahkan di tengah dan selatan Iraq akibat faktor berkaitan iklim.

    Maryam Salman, dalam lingkungan usia 30an, terpaksa meninggalkan wilayah Missan untuk ke Basrah beberapa tahun lalu demi ternakan kerbaunya. Namun, berhampiran rumahnya, AFP melihat tiga rangka kerbau di tanah kering, penduduk tempatan berkata haiwan itu mati akibat kekurangan air.

    “Air bukan sahaja masin, malah tidak ada… baik musim panas mahupun musim sejuk,” kata Salman.

    IKAN SEMAKIN BERKURANGAN

    Sungai Tigris dan Furat berpunca dari Turkiye dan Iraq telah berulang kali menyalahkan empangan di seberang sempadan kerana mengurangkan aliran sungai secara mendadak.

    Iraq kini menerima kurang daripada 35 peratus daripada kuota air yang diperuntukkan, selain sistem pengurusan air yang tidak cekap akibat perang dan pengabaian selama beberapa dekad.

    Khateeb dari Universiti Kufa berkata Iraq perlu bukan sahaja menuntut semula haknya terhadap sungai tersebut, tetapi juga melaksanakan projek penyahgaraman air di Shatt al-Arab.

    Pada Julai lalu, kerajaan Iraq mengumumkan projek penyahgaraman air di Basrah dengan kapasiti sejuta meter padu sehari.

    Penduduk tempatan berkata air payau turut menjejaskan stok ikan. Hamdiyah Mehdi berkata suaminya, seorang nelayan, sering pulang dengan tangan kosong.

    Dia menyalahkan ‘air keruh dan masin’ Shatt al-Arab kerana menyebabkan suaminya mudah marah selepas seharian tanpa hasil tangkapan, selain anak-anaknya mengalami ruam kulit.

    “Ia sangat sukar,” kata Mehdi, 52 tahun, sambil menambah tekanan emosi dan kesan terhadap kesihatan serta sumber rezeki keluarga. “Kami sering melepaskan rasa kecewa sesama sendiri.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda