Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan pemanasan global kini semakin pantas

    PARIS, 5 JUN – Lebih 50 saintis terkemuka memberi amaran fenomena pemanasan global dikesan berlaku dengan sangat pantas, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, selepas ia melebihi had ditetapkan.

    Mengikut kajian terkandung dalam jurnal Data Sistem Sains Bumi yang diterbitkan hari ini, purata sedekad suhu meningkat 0.26 darjah Celsius dari 2014 hingga 2023.

    Dalam tempoh sama, purata suhu permukaan global mencecah 1.19 darjah Celsius, melebihi penanda aras pra-industri 1850-1900 untuk mengukur fenomena pemanasan dunia. Ia sekali gus menandakan peningkatan daripada 1.14 darjah Celsius yang dilaporkan tahun lalu, dalam tempoh sedekad sehingga 2022.

    “Pemanasan akibat perbuatan manusia meningkat pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam rekod instrumental,” menurut kajian itu.

    Kaji selidik itu adalah sebahagian daripada siri penilaian iklim berkala yang dibangunkan untuk mengisi jurang antara laporan Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (IPCC), yang diterbitkan secara purata setiap enam tahun sejak 1988. Ia diterbitkan ketika diplomat dari seluruh dunia bertemu di Jerman minggu ini, untuk rundingan iklim pertengahan tahun menjelang Sidang Kemuncak Perubahan Iklim PBB (COP29) pada November di Baku, Azerbaijan.

    Menurut laporan diterbitkan hari ini, menjelang akhir tahun lalu, aktiviti manusia mendorong peningkatan suhu 1.31 darjah Celsius melebihi paras pra-industri.

    Bumi memanaskan sejumlah 1.43 darjah Celsius dengan yang didorong faktor lain berlaku secara semula jadi, termasuk mengambil kira fenomena El Nino.

    Faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada pemanasan ialah penurunan dalam zarah pencemar tertentu di ruang atmosfera. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda