WASHINGTON – Bagi sesetengah orang, rusa adalah pemandangan ajaib untuk dilihat di tengah-tengah bandar – bagi yang lain, haiwan tersebut adalah makhluk perosak yang mengacau taman mereka, membahayakan lalu lintas dan membantu menyebarkan penyakit berjangkit.
Selepas hampir pupus disebabkan oleh penebangan hutan berleluasa dan pemburuan berlebihan pada abad ke-19, populasi rusa telah meningkat kembali di seluruh Amerika Syarikat. Anggaran menunjukkan jumlah haiwan itu melebihi 30 juta ekor, kebanyakannya di sepanjang pantai timur.
Di Washington, rusa mengancam masa depan Taman Rock Creek, ‘permata tersembunyi’ seluas 1,754 ekar yang menawarkan penduduk perlindungan daripada kehidupan seharian di ibu pejabat kerajaan persekutuan.
Pokok-pokok oak yang menjulang tinggi di taman itu tidak kurang hebatnya. Tetapi yang menjadi kebimbangan para pakar bukanlah kanopi yang matang.
“Jika hutan ini sihat sepenuhnya, kita tidak akan dapat melihat sejauh ini,” kata pegawai Perkhidmatan Taman Negara (NPS), Megan Nortrup kepada AFP, merujuk kepada kawasan terbuka yang luas di luar denai pada penghujung hari musim panas.
Dengan ketiadaan pemangsa semula jadinya, rusa ekor putih telah memakan spesies tumbuhan asli yang penting untuk biodiversiti tempatan, termasuk anak pokok yang diperlukan untuk pembaharuan hutan.
Dengan kata lain, hutan seperti ini boleh lenyap dalam seratus tahun akan datang.
Ahli botani taman, Ana Chuquin membuka pintu pagar plot kecil yang dikelilingi pagar bagi menghalang rusa masuk. Ia adalah sebahagian daripada eksperimen jangka panjang yang melibatkan plot yang dilindungi dan plot kawalan yang tidak dilindungi.
Dia menunjukkan anak pokok setinggi 1.8 meter yang masih hidup hanya kerana rusa secara fizikal telah dihalang daripada menghampirinya.
“Di sekeliling, awda tidak melihat satu pun anak pokok sebesar ini, jadi ini bermakna kita kehilangan generasi itu,” kata Chuquin.
Kerana rusa telah berkembang bersama tumbuhan asli rantau ini, haiwan itu lebih suka memakannya berbanding tumbuhan penceroboh bukan asli seperti linden viburnum, yang banyak kelihatan di taman di mana benihnya dibawa masuk oleh angin, air dan burung.
Itu adalah berita buruk, kerana spesies serangga tempatan bergantung kepada tumbuhan asli dan kesan kehilangan tumbuhan tersebut meningkat merentasi rantaian makanan, mengancam ekosistem yang lebih luas.
Ahli biologi bersenjata
Sebagai tindak balas terhadap ancaman daripada haiwan kaki berbulu ini, NPS memutuskan pada tahun 2013 untuk memulakan pemburuan tahunan.
Ia berlaku pada musim sejuk, pada waktu malam, dengan taman itu ditutup. Ahli biologi yang terlatih dalam senjata api menggunakan pengimbas haba inframerah dan cermin mata penglihatan malam semasa mereka mengurangkan bilangan kumpulan rusa itu.
Pada tahun 2020, program ini diperluaskan ke taman-taman lain di Washington yang diuruskan oleh NPS.
Pada kemuncaknya, bilangan rusa melebihi 100 ekor setiap batu persegi, jauh lebih banyak daripada 20 ekor setiap batu persegi yang telah ditentukan oleh saintis sebagai kehadiran yang mampan – tetapi sejak itu ia telah dikurangkan.
Semasa sesi bersama penduduk tempatan, beberapa penduduk bertanya kepada NPS sama ada, selain menembak rusa, adakah lebih baik untuk membawa kembali pemangsa seperti serigala, koyote dan bobcat.
Dalam jawapan rasminya, NPS berkata bahawa serigala ‘mempunyai julat rumah dengan purata 77 kilometer persegi apabila rusa adalah mangsa utama nya’, manakala seluruh Taman Rock Creek hanyalah berkeluasan 7 kilometer persegi.
Selain itu, ia adalah ‘tidak praktikal untuk memperkenalkan semula pemangsa tambahan… memandangkan kemungkinan kesan buruk yang mungkin berlaku terhadap penduduk luar bandar atau pinggir bandar di sekitarnya, terutamanya keselamatan kanak-kanak dan haiwan kesayangan,” katanya.
Terdapat tanda-tanda awal bahawa pengurusan rusa membuat perbezaan positif untuk taman itu, kata Chuquin, tetapi beliau menekankan pemulihan adalah proses yang panjang.
Pemburu rusa bandar
Perjalanan selama setengah jam dari bandar, di Great Falls, Virginia, penduduk Taylor Chamberlin memutuskan untuk mengambil inisiatif sendiri.
Beliau telah menyertai perniagaan hartanah keluarga selepas tamat pengajian, tetapi segera menyedari beliau mempunyai pekerjaan lain.
Dilengkapi dengan busur tradisional atau busur silang, ‘pemburu rusa bandar’ yang bergaya ini menghabiskan hari-harinya dengan pergi ke setiap rumah untuk bertanya kepada jiran-jiran jika mereka memerlukan bantuan dengan rusa yang merosakkan taman mereka.
Dalam persekitaran pinggir bandar, kata Chamberlin, ‘awda tidak boleh mengambil sebarang risiko selain tembakan yang sempurna’ – awda tidak mahu rusa berdarah di dalam kolam renang seseorang.
Rusa begitu banyak sehingga musim memburu tidak pernah berakhir, dan sebahagian besar daging rusa hasil tembakan Chamberlin disumbangkan kepada bank makanan.
Generasi muda dari bandar, yang berhati-hati dengan kesan pertanian besar-besaran terhadap kesihatan dan alam sekitar mereka, telah menghubungi beliau melalui media sosial untuk mengetahui bagaimana mereka juga boleh memburu.
Mengambil nyawa bukan perkara yang mudah, kata lelaki berusia 38 tahun itu.
Tetapi beliau menambah bahawa ia menghubungkannya dengan alam semula jadi dan memberinya penghargaan yang lebih besar terhadap kerja pentingnya. – AFP