GENEVA/MYANMAR, 17 JAN – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mencela peningkatan ‘membimbangkan’ jumlah pelarian Rohingya yang hilang di laut, melarikan diri dari tanah air Myanmar atau Bangladesh tahun lalu, memberi amaran lebih ramai akan mati tanpa tindakan bersepadu.
Lebih 3,500 orang Rohingya mencuba pelayaran laut pada 2022, peningkatan besar berbanding tahun sebelumnya, apabila kira-kira 700 orang membuat perjalanan serupa, menurut UNHCR, agensi pelarian PBB.
“UNHCR telah merekodkan peningkatan yang membimbangkan dalam angka korban. Sekurang-kurangnya 348 individu telah mati atau hilang di laut pada 2022, menjadikannya tahun paling membawa maut sejak 2014,” jurucakap Shabia Mantoo memberitahu pemberita di Geneva.
Beliau berkata, 3,040 orang Rohinga yang cuba melarikan diri menerusi laut berlepas tahun lalu, terutamanya di Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh. Hampir 45 peratus mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
“Kebanyakan bot berlepas dari Myanmar dan Bangladesh, mengetengahkan perasaan terdesak yang meningkat dalam kalangan Rohingya di kedua-dua negara berkenaan,” Mantoo berkata.
“Mereka yang mendarat melaporkan bahawa mereka membuat perjalanan laut yang berbahaya itu dalam usaha untuk mencari perlindungan, sekuriti, penyatuan keluarga dan pendapatan di negara-negara lain,” katanya.
“Antara mereka adalah mangsa-mangsa penyeludupan, kanak-kanak yang tidak ditemani dan terpisah, dan mangsa-mangsa keganasan seksual dan berdasarkan gender.” – AFP
