TOKYO, 27 NOV – Ryan Garcia yang diharamkan daripada menyertai tinju, akan bertanding di Jepun pada malam tahun baharu, kata penganjur hari ini, tetapi pengurusan warga Amerika itu segera menimbulkan keraguan sama ada pertarungan itu akan berlangsung atau sebaliknya.
Garcia sedang menjalani hukuman pengharaman selama setahun yang dikenakan oleh Suruhanjaya Olahraga Negeri New York selepas gagal ujian dadah sebelum kemenangannya dalam welterweight ke atas Devin Haney April lalu, yang kemudiannya diisytiharkan untuk tidak bertanding.
Penganjur seni mempertahankan diri campuran (MMA) Jepun, Rizin, berkata Garcia akan berdepan bekas juara kickboxing, Rukiya Anpo, sepanjang lapan pusingan, pada catchweight 70 kilogram, di Saitama, utara Tokyo.
Bercakap pada sidang media di Los Angeles, bekas juara dunia lightweight sementara Majlis Tinju Dunia (WBC), Garcia, berkata dia akan memberi ‘pengajaran’ kepada Anpo, yang menentang peninju Filipina, Manny Pacquiao, dalam keputusan seri semasa pertarungan di Jepun Julai lalu.
“Saya sangat teruja, ini acara besar pertamanya,” kata Garcia yang berusia 26 tahun.
Tambahnya lagi, “Saya perlu menewaskan, menumbangkannya dan membawa pulang kejayaan.”
Bagaimanapun, penganjur Golden Boy, Oscar De La Hoya, yang menguruskan pertarungan Garcia, berkata bahawa mereka belum memberi kebenaran untuk pertarungan itu.
“Penganjur Golden Boy mempunyai hak eksklusif untuk perlawanan Ryan Garcia,” kata satu kenyataan. – AFP