Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penipu bakal disebat dalam undang-undang baharu S’pura

    ISTANBUL, 5 NOV – Singapura akan melaksanakan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah penipuan di bawah undang-undang jenayah baharu yang diluluskan kelmarin, selepas negara itu mengalami kerugian hampir $4 bilion akibat penipuan sejak enam tahun lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Menurut akhbar harian The Straits Times, individu yang disabitkan kesalahan menjalankan atau membantu sindiket penipuan akan berdepan sekurang-kurangnya enam sebatan, selain denda dan hukuman penjara. Hukuman maksimum ditetapkan sebanyak 24 sebatan bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan.

    Di bawah undang-undang baharu itu, ahli sindiket, perekrut dan rakan sekutu termasuk ‘keldai akaun’ yang menyediakan akaun bank, kad SIM atau identiti digital turut akan dipertanggungjawabkan.

    Sejak 2019, Singapura telah menanggung kerugian melebihi $3.4 bilion akibat kegiatan penipuan, termasuk rekod tertinggi $1.1 bilion pada tahun 2024 sahaja.

    Pindaan lain dalam rang undang-undang itu turut memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan seksual, penderaan membawa maut terhadap mangsa berisiko, pendedahan maklumat peribadi penjawat awam (doxxing), serta pengedaran bahan lucah.

    Mereka yang mengedarkan kandungan lucah kepada 10 orang atau lebih boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau maksimum empat tahun jika pesalah berumur bawah 18 tahun.

    Bagi pengantunan seksual, hukuman penjara maksimum ditingkatkan kepada tujuh tahun bagi mangsa bawah umur 14 tahun dan lima tahun bagi mangsa berumur antara 14 hingga 17 tahun.

    Bidang kuasa undang-undang Singapura juga akan diperluas meliputi kes di mana pelaku atau mangsa berada di luar negara.

    Hukuman penjara maksimum bagi pesalah yang menyebabkan kematian terhadap mangsa berisiko turut dinaikkan daripada 20 tahun kepada 30 tahun atau penjara seumur hidup. – Bernama/Anadolu

    Mahkamah Agung Singapura. Penipu bakal disebat dalam undang-undang baharu Singapura. – Wikipedia
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda