Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penipu dipenjara dua tahun

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan menipu dua individu dan melakukan penggubahan wang haram dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

    Hukuman terhadap Muhammad Izwan Zulhasree bin Muhammad Aliyas, 21, dijatuhkan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.

    Tertuduh melakukan kesalahan apabila memperdayakan seorang lelaki yang telah mengiklan di laman sosial Facebook bagi pihak abangnya yang sedang mencari bahagian kotak gear kereta pada 29 Julai 2019.

    Tertuduh memberitahu lelaki itu, yang kononnya dia memiliki barang yang dicari dan akan menjualnya pada harga $90.

    Lelaki itu memaklumkan kepada abangnya, yang telah memasukkan wang $66 ke dalam akaun bank tertuduh pada keesokan harinya.

    Abang kepada lelaki itu membuat laporan polis sebaik mengesyaki sesuatu yang ‘tidak kena’ apabila barang kotak gear yang dibeli tidak pernah diterimanya. Dalam kejadian lain, tertuduh turut menipu seorang lagi individu yang juga mengiklan di Facebook pada 3 Ogos 2019 yang sedang mencari tong gas.

    Tertuduh yang menggunakan teknik sama telah memperdayakan mangsa yang kononnya dia memiliki dua tong gas untuk dijual dan memintanya untuk memasukkan wang $120 ke dalam akaunnya. Mangsa yang tidak menerima tong gas daripada tertuduh membuat laporan polis pada 8 Ogos 2019 apabila menyedari dirinya telah ditipu.

    Siasatan mendapati tertuduh menggunakan wang yang diperolehi dari kedua-dua mangsa untuk membeli token permainan dalam talian.

    Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff yang membuat pendakwaan terhadap tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa wang yang digunakan tertuduh membeli token adalah daripada hasil jenayah yang membawa kepada penggubahan wang haram.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda