LANGKAWI, 12 JAN – Jabatan Imigresen menahan 164 individu termasuk 30 warga asing yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian menerusi serbuan di tiga pusat peranginan di sini kelmarin.
Kesemua mereka berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun dengan warga asing itu terdiri daripada 27 warga China, dua Thailand dan seorang Myanmar.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata operasi dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Putrajaya secara serentak kira-kira 12 tengah hari selepas bertindak hasil maklumat pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.
“Hasil risikan selama enam bulan, Jabatan Imigresen berjaya mengesan kegiatan sindiket berkenaan yang beroperasi di pusat-pusat peranginan yang masih belum dibuka kepada orang ramai selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
“Sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan itu kira-kira setahun lepas, menjadikan pusat peranginan sebagai pusat operasi dan tempat untuk melatih anggota baharu sebagai operator bagi kegiatan sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita kelmarin. – Bernama


