HANOI, 9 MEI – Penjenayah siber kini menggunakan teknologi video palsu deepfake berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membuat panggilan palsu dengan meminta wang.
Menurut laman The Star, salah seorang mangsa, Dang Anh Quang, yang tinggal di Daerah Hai Ba Trung, Hanoi, telah menerima permintaan segera untuk meminjam wang daripada rakan baiknya menerusi akaun Zalo.
Katanya, dia menerima panggilan video di mana dia dapat melihat wajah rakannya dan mendengar suaranya.
Oleh itu, dia tidak teragak-agak dan menghantar 20 juta dong (RM3,790) ke akaun yang dinyatakan dalam Zalo.
Bagaimanapun, Quang kemudian mendapati dia ditipu oleh teknologi deepfake.
“Wajah yang saya lihat dalam panggilan video itu agak kabur, dia bertutur beberapa perkataan, kemudian panggilan terputus. Saya fikir sambungan internet teruk,” katanya kepada Vietnam News Agency (VNA).
Menurut Kaspersky, deepfake adalah gandingan perkataan ‘deep’ atau mendalam daripada ungkapan ‘deep learning’ atau pembelajaran mendalam dan ‘fake’ (palsu).
Pembelajaran mendalam ialah kaedah AI lanjutan yang menggunakan berbilang lapisan algoritma pembelajaran mesin untuk mengeluarkan ciri-ciri peringkat lebih tinggi secara progresif daripada input mentah.
Ia boleh belajar daripada data tidak teratur – seperti wajah manusia.
Sebagai contoh, menurut Kaspersky, AI boleh mengumpulkan data mengenai pergerakan fizikal awda.
Teknologi deepfake telah mencipta produk teknologi video dengan bunyi dan imej yang memalsukan objek sebenar dengan ketepatan tinggi.
Video palsu akan kelihatan seperti sebenar ketika teknologi mengumpul lebih banyak data tentang bentuk dan suara pengguna rangkaian sosial.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan AI Antarabangsa di Universiti Sains dan Teknologi Hanoi, Dr Dinh Viet Sang berkata video dan imej individu yang disiarkan dalam platform rangkaian sosial adalah sumber bagi penjenayah untuk mencipta video-video palsu.
Video deepfake itu hanya bertahan beberapa saat, selalunya dengan imej dan bunyi yang tidak jelas.
Menurut Pengarah Teknologi dari Syarikat Keselamatan Rangkaian NCS, Vu Ngoc Son, muslihat dan bentuk penipuan itu bukan baharu, tetapi penipu kini menggunakan teknologi canggih dengan kemungkinan kejayaannya adalah tinggi.
Menurut statistik Kementerian Penerangan dan Komunikasi Vietnam, lebih 3,200 laman sesawang penipuan dikesan dalam tiga bulan pertama 2023 di negara itu. – ANN/The Star