ISTANBUL, 6 NOV – Polis Turkiye menahan seramai 62 individu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian penipuan dalam talian melibatkan penilik nasib dan medium palsu, lapor Agensi Berita Jerman, dpa, kelmarin memetik agensi berita Anadolu Ajansi.
Kumpulan itu didakwa menipu dan memeras ugut pelanggan melalui platform dalam talian, menurut laporan Anadolu.
Polis turut merampas telefon, kad SIM, komputer riba serta sejumlah besar bahan digital dalam serbuan di 29 bandar dan wilayah seluruh negara.
Akhbar tempatan Sabah pula melaporkan bahawa kumpulan berkenaan menyasarkan ratusan mangsa.
Amalan tilik nasib tersebar dengan meluas di Turkiye, namun pihak berkuasa kerap mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap penipuan berkaitan kegiatan itu.
Pada Julai lepas, dua laman sesawang tilik nasib popular turut disiasat atas dakwaan penipuan, dan pengasasnya telah ditahan, menurut media tempatan. – Bernama








