Penjadualan semula tempahan vaksinasi giat dilaksanakan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Proses penjadualan semula slot-slot tempahan suntikan bagi mereka yang terjejas disebabkan penangguhan pemberian vaksin dos
pertama COVID-19 masih giat dilaksanakan.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Disebabkan penganjakan ini melibatkan jumlah tempahan dos pertama yang tinggi, maka telah berlaku beberapa masalah teknikal melibatkan beberapa buah pusat suntikan semasa penjadualan semula slot-slot tempahan vaksinasi apabila pemberian dos pertama vaksin COVID-19 dibukakan semula hari ini,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan selaku wakil Kementerian Kesihatan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul daripada kejadian tersebut.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Program Vaksinasi Kebangsaan dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada semua rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk warga asing yang menetap di Negara Brunei Darussalam.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menekankan kepada orang ramai untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 seperti mengamalkan mencuci tangan dengan air dan sabun atau dengan menggunakan pensanitasi, memakai pelitup muka semasa berada di dalam bangunan atau di tempat-tempat awam dan elakkan dari berada di tempat yang sesak.

Beliau juga menasihatkan kepada mereka yang bekerja dari rumah untuk terus berada di rumah dan tidak pergi bersiar-siar tanpa tujuan.