RIYADH, 13 NOV – Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menyeru agar solat Istisqa (memohon hujan) diadakan di seluruh wilayahnya hari ini, 22 Jumada Al-Awwal 1447H, menurut Royal Court.
Kenyataan itu menggesa seluruh rakyat untuk bermunajat kepada Allah SWT memohon keampunan, bertaubat, memperbanyakkan amal kebaikan dan memohon diturunkan hujan, lapor agensi berita Saudi (SPA).
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Saudi turut mengumumkan waktu pelaksanaan solat Istisqa yang dijadual berlangsung di masjid-masjid serta kawasan lapang di seluruh negara hari ini.
Solat Istisqa akan dilaksanakan 15 minit selepas terbit matahari berdasarkan takwim Umm Al-Qura. Segala persiapan dan keperluan disempurnakan bagi menyambut kehadiran jemaah di masjid serta kawasan yang ditetapkan di seluruh wilayah dan daerah. – Bernama


