Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjaga gol legenda meninggal dunia

    KUALA LUMPUR, 21 Feb – Seorang lagi bintang zaman gemilang bola sepak Malaysia meninggal dunia hari ini iaitu penjaga gol legenda Chow Chee Keong di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat kanser pundi kencing.

    Beliau dimasukkan ke hospital yang sama pada 17 Januari untuk menjalani pembedahan pintasan jantung yang berjaya, tetapi mengalami komplikasi kemudiannya, menyebabkan beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi.

    Anaknya Adrian Chow berkata beliau tidak begitu ingat zaman kegemilangan mendiang bapanya bermain bola sepak tetapi banyak mendengar mengenai ketangkasan bapanya sebagai penjaga gol.

    “Saya lebih mengingati beliau sebagai pemain golf profesional, sukan yang diceburinya selepas berhenti bola sepak,” katanya.

    Adrian ialah penjaga gol hoki ais kebangsaan.

    Chee Keong adalah antara penjaga gol terbaik Malaysia. Beliau berusia 68 tahun.

    Mendiang merupakan bekas pelajar sekolah St John’s Institution dan cemerlang bermain dalam pasukan remaja kebangsaan bawah 20 tahun pada usia 13 tahun dan mula menyarung jersi negara ketika berusia 15 tahun. Beliau bermain lima kejohanan Piaa Merdeka dari 1965-1969 dan menjulang piala itu bersama pasukan negara pada 1968.

    Rakyat Malaysia mengenang beliau sebagai pemain bola sepak yang menjadi pemain profesional di wilayah autonomi China, Hong Kong pada 1970, dan meneruskan kerjayanya melebihi sedekad. Pasukan yang disertainya termasuk Jardines FC, South China AAA dan Hong Kong Rangers FC, pasukan terakhir sebagai profesional. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda