Thursday, October 10, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjaga gol Liverpool Alisson berehat enam minggu

    LONDON, 10 OKT – Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dijangka diketepikan selama kira-kira enam minggu kerana kecederaan hamstring, yang akan menyebabkan dia tidak diturunkan menentang Chelsea dan Arsenal.

    Pemain antarabangsa Brazil berusia 32 tahun itu cedera semasa kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace pada hujung minggu lalu dan dikeluarkan pada lewat separuh masa kedua.

    Laporan dalam akhbar British mengatakan ujian telah menunjukkan Alisson tidak mungkin cergas untuk bermain sehingga selepas rehat antarabangsa bulan depan.

    Ini bermakna perlawanan pertama yang bakal dia hadapi ialah lawatan ke Southampton pada 24 November.

    Pendahulu Liga Perdana di bawah pimpinan Arne Slot itu akan berdepan Chelsea pada 20 Oktober dan Arsenal seminggu kemudian, manakala dua perlawanan Liga Juara-Juara seterusnya akan menentang RB Leipzig dan Bayer Leverkusen.

    Caoimhin Kelleher, yang terlepas perlawanan Palace kerana sakit, dijangka akan diturunkan, seperti yang dilakukannya musim lalu apabila Alisson diketepikan kerana kecederaan hamstring.

    Bercakap selepas kemenangan di Crystal Palace, Slot meramalkan tempoh pemulihan yang panjang untuk penjaga gol nombor satunya.

    “Kami perlu tunggu dan lihat tetapi ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk dia kembali. Saya fikir ya, (ia adalah hamstringnya),” katanya.

    “Dia jelas pemain nombor satu kami, dia penjaga gol terbaik di dunia. Ia sentiasa menjadi tamparan kepada kami apabila dia cedera, bukan sahaja untuknya tetapi kami sebagai satu pasukan.”

    Liverpool kini mempunyai 18 mata daripada tujuh perlawanan Liga Perdana, lebih satu daripada juara bertahan Manchester City dan Arsenal. – AFP

    Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker (tengah) terbaring akibat kecederaan semasa  menentang Crystal Palace di London pada 5 Oktober lalu. Beliau direhatkan enam minggu. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda