Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjaga zoo maut diserang singa di Thailand

    BANGKOK, 10 SEPT – Seorang penjaga zoo di Thailand maut selepas diserang singa, kata pegawai semalam, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan serta kesahihan pemilikan singa oleh sebuah taman safari.
     
    Insiden itu berlaku di Safari World Bangkok, yang mendakwa sebagai salah satu zoo terbuka terbesar di Asia dan menawarkan pengalaman memberi makan singa serta harimau dengan bayaran sekitar 1,200 baht (AS$37) seorang.
     
    “Mangsa merupakan kakitangan zoo yang biasanya memberi makan kepada singa,” kata Sadudee Punpugdee, pengarah perlindungan hidupan liar Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan kepada AFP.
     
    Dia dipercayai dibaham oleh enam atau tujuh ekor singa ketika keluar dari keretanya, katanya.
     
    Tavatchai Kanchanarin, seorang doktor dan pelawat zoo yang menyaksikan kejadian itu, berkata, “Seorang lelaki turun dari kereta tanpa bumbung dan berdiri bersendirian membelakangi haiwan, yang saya rasa agak pelik.
     
    Seekor singa jantan dan betina yang kini digunakan untuk membiakkan anak singa, di Thailand. – AFP
    “Dia berdiri kira-kira tiga minit, kemudian seekor singa berjalan perlahan dan menerkamnya dari belakang. Dia tidak menjerit,” katanya kepada media tempatan, Thairath TV.
     
    “Kami ingin merakamkan takziah ikhlas kepada penjaga haiwan yang terkorban,” kata Edwin Wiek dari kumpulan pemuliharaan Wildlife Friends Foundation Thailand dalam satu kenyataan di Facebook.
     
    “Kejadian ini seharusnya menjadi peringatan jelas bahawa haiwan ini, meskipun dibesarkan oleh manusia sejak lahir, tetap membawa ancaman serius terhadap nyawa manusia yang boleh tercetus tanpa amaran.”
     
    Seorang pegawai kanan zoo, yang enggan namanya didedahkan, memberitahu media tempatan bahawa semua singa di taman tersebut mempunyai lesen sah.
     
    “Kami mempunyai peraturan dan sering mengingatkan kakitangan kerana bekerja dengan haiwan berbahaya,” katanya.
     
    Mangsa, yang telah berkhidmat sebagai penyelia zoo lebih 30 tahun, digambarkan sebagai “seorang yang baik hati,” tambahnya.
     
    Laman web Safari World menyatakan “pengunjung boleh mendekati haiwan liar seperti harimau, singa, beruang dan zebra yang berkeliaran bebas di habitat semula jadi mereka.” – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda