BERBANDING wajah, tangan dan bentuk tubuh, penjagaan kaki agak jarang diberi perhatian serius. Jika ada sekalipun, mungkin dalam kalangan mereka yang suka mengenakan blaus pendek, sepatu terbuka atau wanita yang gemar memanjakan diri di pusat rawatan dan kecantikan.
Bagi segelintir orang, penjagaan kaki sudah memadai dengan memastikan kuku sentiasa dalam keadaan bersih. Namun, ramai juga yang mengabaikan terus penjagaan anggota paling penting ini kerana beranggapan tidak perlu berlebihan.
Cuba perhatikan tumit, buku lali dan lutut. Ramai yang mengalami masalah kulit kering, tumit merekah dan lutut kehitaman, tetapi dibiarkan saja. Sedar atau tidak, bahagian tubuh yang tidak terjaga ini mungkin mengundang persepsi buruk kepada yang melihatnya.
Pemakaian stoking biasanya mampu menyembunyikan rupa sebenar kaki. Namun sebagai wanita, kita tidak seharusnya malas dalam hal penjagaan anggota tubuh. Cuba curi sedikit masa dan baiki setiap kelemahan yang ada. Ikuti tip mudah berikut sebagai permulaan;
1. Kaki lembut dan halus
Ada banyak petua mudah yang bukan saja mampu membantu mencantikkan kaki, malah mengurangkan rasa letih selepas banyak berjalan atau berdiri. Antaranya dengan merendam kaki dalam besen mengandungi air suam yang dicampurkan dengan garam bukit. Sental sekali bahagian tumit dengan berus sabut.


Jika anda punya masa panjang untuk memanjakan diri, campurkan secawan jus perahan lemon, empat sudu minyak zaitun, dua cawan susu dan air suam yang secukupnya ke dalam baldi. Rendamkan kaki anda ke dalam baldi dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air yang bersih dan sapukan sedikit losen.
2. Pupur sekali seminggu
Tidak sukar untuk menyediakan pupur di rumah. Anda boleh menggunakan kacang, kopi, beras, asam jawa atau gula. Andai kacang hijau atau merah jadi pilihan, rendam dulu semalaman dan kisar bersama secawan susu. Beras juga perlu direndam semalaman sebelum dikisar bersama asam jawa (termasuk biji) manakala serbuk kopi dan gula boleh digunakan terus bersama air suam.
Rutin pupur yang baik boleh membantu menanggalkan sel kulit mati, memudarkan parut, mencerah dan menanggalkan daki. Bilas kaki dengan bersih setiap kali selepas berpupur dan rendam seketika dalam besen air suam. Sentiasa lapkan kaki dengan kain bersih.
3. Pilih kasut yang betul
Tidak kira lelaki atau wanita, ramai yang lebih mementingkan kesesuaian gaya dan penampilan berbanding kesesuaian kasut dengan kaki. Kasut yang salah dari segi saiz, bentuk dan kepadanan boleh menimbulkan masalah pada kaki. Kasut yang betul walaupun tidak akan menyelesaikan masalah klinikal pada kaki, ia masih boleh mengurangkan masalah yang dihadapi.
Memandangkan setiap orang mempunyai bentuk kaki yang berbeza, belilah kasut berdasarkan saiz tepat, sesuai, selesa serta berpadanan dengan tujuan ia dipakai. Pastikan tapak kaki berpadanan dengan tapak kasut.
Sebaiknya, beli kasut pada waktu petang kerana kaki akan mengembang selepas berjalan seharian. Tapak kasut yang tebal dan lembut dapat mengurangkan tekanan ketika berjalan, terutama di atas permukaan yang keras. Elakkan tumit kasut yang terlalu tinggi kerana ia berisiko menyebabkan ketegangan pada otot kaki.
4. Kaki berpeluh
Untuk anda yang mengalami masalah ini, pilih kasut diperbuat daripada kulit atau kanvas dan elakkan kasut daripada buatan sintetik. Gunakan stoking dan bedak kaki yang sesuai supaya kaki sen-tiasa kering dan tidak berbau. Jagalah kaki anda dengan baik.
Kaki yang banyak berpeluh lebih mudah dijangkiti kulat. Jika anda penghidap kencing manis, beri keutamaan kepada penjagaan dan kebersihan kaki dan paling penting jangan sesekali berkaki ayam.
Menurut sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh laman kesihatan HealthLine, masalah tumit kaki pecah, kering, atau mengelupas ini adalah masalah yang dihadapi oleh hampir 20 peratus manusia. Namun, ia cenderung dialami oleh golongan wanita.
Cara berkesan melembutkan tumit kaki pecah, gatal dan merekah
Umumnya, masalah ini berpunca daripada kekurangan lembapan pada bahagian tumit kaki. Menurut pakar, ada banyak sebab yang boleh menjadi punca tumit kaki merekah dan kering. Antaranya termasuklah:
– Kurang minum air.
– Kaki sering terdedah kepada suhu sejuk seperti bilik berhawa dingin.
– Merendam kaki dalam air panas terlalu kerap.
– Penggunaan sabun yang tidak sesuai.
– Masalah kencing manis atau diabetes.
– Obesiti.
– Amalan pemakanan tidak sihat.
Meskipun masalah ini tidaklah serius, namun sudah tentulah ia mendatangkan rasa tidak selesa hingga mampu merendahkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan situasi tertentu yang memerlukan seseorang membuka kasut. Berikut adalah beberapa cara merawat dan mengatasi tumit kaki pecah yang boleh anda lakukan sendiri di rumah:
1.Losyen atau pelembab
Antara cara paling berkesan yang boleh anda lakukan dengan mudah di rumah adalah menyapukan losyen atau pelembap. Sebaiknya, pilih losyen yang bersumber daripada bahan organik, tidak terlalu wangi atau kuat bahan kimianya. Selain losyen, boleh juga menggunakan pelembap seperti Vaseline.
2.Minyak
Selain losyen dan pelembap, anda boleh menggunakan minyak yang sesuai seperti minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak badam. Penggunaan minyak ini akan meresap jauh ke dalam kulit dan sekaligus membantu meningkatkan kelembaban serta merawat rekahan.
3. Lemon dan garam
Lemon adalah salah satu bahan yang sangat popular sebagai remedi di rumah. Selain memiliki khasiat yang pelbagai, ia mampu menyingkirkan sel-sel kulit mati pada kulit. Garam pula boleh mencegah jangkitan pada luka atau kulit kaki yang merekah.
Caranya, rendam kaki anda di dalam air suam yang dicampur dengan perahan lemon dan garam. Boleh juga gantikan garam dengan soda penaik. Wangi pun wangi!
4.Belimbing buluh
Belimbing buluh adalah antara bahan yang digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat beberapa jenis penyakit seperti batuk, jerawat, kegatalan, dan bengkak. Kandungan vitaminnya dipercayai boleh membantu merawat kulit kaki yang kering dan merekah.
Caranya, ambil beberapa biji buah belimbing buluh dan lenyek kasar. Kemudian, gosokkan pada tumit anda perlahan-lahan selama beberapa minit. Amalkan rutin ini setiap minggu untuk mendapatkan tumit yang lebih halus dan licin.
5. Tepung beras dan madu
Madu memiliki banyak kebaikan dan boleh berfungsi sebagai pelembab pada tumit kaki. Sementara itu, tekstur kasar daripada tepung beras pula membantu menghapus rekahan dan kulit kering. Gaulkan kedua-dua bahan ini sehingga menjadi pes dan scrubkan pada tumit anda dengan kerap. Boleh juga dijadikan air rendaman.
6. Asam keping atau asam jawa
Masukkan beberapa keping asam keping ke dalam besen mandian yang berisi air suam. Rendamkan tumit kaki pecah tersebut selama beberapa minit. Boleh juga melumurkan kaki dengan asam jawa dan rendamkan kaki dalam air suam untuk membilasnya.
7. Bawang merah atau bawang putih
Bawang putih dan bawang merah mengandungi komponen antibakteria yang juga boleh membantu memperbaiki sel kulit.
Potong bawang merah atau bawang putih yang kepada dua bahagian. Sapukan tumit kaki anda yang pecah sehingga jusnya kering. Lakukan setiap hari sehingga sembuh dan anda berpuas hati dengan hasilnya.
8.Gosok dengan batu apung (pumice stone)
Rendam kaki anda pada air suam yang sudah dicampur dengan cuka selama beberapa minit. Seperti garam, sedikit cuka berkesan menghilangkan bau serta mencegah jangkitan.
Kemudian, gosok dengan batu apung agar kulit mati tertanggal dengan lembut. Pumice stone atau batu apung ini merupakan batu yang terbentuk hasil daripada lahar gunung berapi yang mengeras. Sejak sekian lama, khasiatnya telah diamalkan sebagai alat pembersih tubuh. Kini ia boleh didapati dengan mudah di farmasi.
9. Getah betik muda
Petua tumit kaki pecah yang seterusnya adalah menggunakan getah betik muda. Caranya, gosok getah betik muda pada tumit kaki. Biarkan kering selama 10 minit dan bilas dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu dengan konsisten sehingga mendapat hasil yang diinginkan. – Agensi