Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Usaha memacu kesihatan mental yang baik merupakan tanggungjawab semua pihak dan bukannya hanya terhad kepada Kementerian Kesihatan sahaja.
Dalam hubungan itu, sesi taklimat semasa Jerayawara Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi mengetengahkan topik-topik berkaitan kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan dari perspektif Islam dan sains, khususnya di tempat kerja.
“Topik-topik yang telah dibincangkan diharap dapat memberi manfaat bukan hanya kepada individu yang menghadiri jerayawara malahan organisasi dan tempat kerja dalam perihal kepentingan penjaga-an kesihatan mental dan sokongan yang perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan juga sebagai langkah pencegahan awal kepada warga perkhidmatan awam yang lain.
“Maklum balas yang telah diterima telah pun menunjukkan pencapaian yang memuaskan di mana lebih daripada 80 peratus merasakan objektif-objektif jerayawara tersebut telah tercapai,” jelas Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Muhammad Khalifah bin Haji Ismail dalam ucapannya di Majlis Penghargaan Rakan Pelaksana Jerayawara Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi Sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023/2024 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), kelmarin.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan isu dan penjagaan kesihatan mental merupakan satu isu yang kompleks dan memerlukan pendekatan yang holistik, bersepadu serta kolaborasi yang erat di antara pelbagai pihak.
Pengiran Dr Haji Muhammad Khalifah menambah setiap sumbangan adalah amat berharga dalam usaha kita untuk meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma, diskriminasi dan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti ke arah meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan seluruh masyarakat.
“Adalah penting untuk kita berterusan saling bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan merancang langkah-langkah strategik yang lebih inovatif dan berkesan, dengan belajar daripada kejayaan dan cabaran yang telah kita hadapi serta sentiasa terbuka kepada idea-idea baharu yang dapat memperkasakan lagi usaha kita dalam bidang kesihatan mental.”
Beliau percaya dengan semangat kerjasama yang berterusan dan komitmen yang cekal, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong dan inklusif bagi individu yang mengalami masalah kesihatan mental khususnya di tempat kerja, ke arah kesejahteraan mental seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam.
Pada majlis berkenaan, Pengiran Dr Haji Muhammad Khalifah turut mengagihkan Buku Panduan Doa dan Zikir: Amalan dan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi, yang diterbitkan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) dengan sokongan penuh daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Jerayawara berkenaan berjaya dilaksanakan di 12 kementerian, bermula Oktober 2023 hingga Oktober 2024 dengan tema, Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi.
Jerayawara selama setahun itu diungkayahkan dengan tujuan meningkatkan kesedaran, pencegahan dan pengurusan kesihatan mental, membarigakan kepentingan penjagaan kesejahteraan diri serta mengurangkan stigma dan pandangan negatif terhadap kesihatan mental di tempat kerja khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Pada masa yang sama, ia juga diharap menjadi satu platform bagi orang ramai, khususnya penjawat awam, untuk berinteraksi secara terbuka dan bebas daripada stigma bersama ahli-ahli profesional kesihatan mental.