Oleh Soon Li Wei –
JERANTUT – Malaysia bertuah kerana kaya dengan pelbagai sumber alam termasuk bekalan air yang melimpah-ruah untuk kegunaan rakyat.
Meskipun pernah mengalami krisis air akibat kemarau panjang yang menjejaskan takungan air mentah di empangan, masyarakat, khususnya di Lembah Klang yang berdepan masalah kekurangan bekalan air mentah, masih mendapat akses kepada sumber kehidupan itu dan barangkali kerana itulah rata-rata penduduk di negara ini tidak begitu mengambil hirau seruan agar menggunakan air secara berhemat.
Menurut Water and Severage Fact Book 2023 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, setiap individu di Malaysia secara purata menggunakan 228 liter air sehari, jauh lebih tinggi berbanding kadar purata yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu 165 liter sehari.
Jika dari segi kewangan, masyarakat sering diingatkan tentang pentingnya menabung untuk masa depan serta berjimat-cermat sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan, bagaimana pula dengan keperluan sumber air bersih? Berapa ramai dalam kalangan masyarakat yang benar-benar mengutamakan penjimatan air demi keperluan masa depan serta menghadapi sebarang kecemasan seperti musim kering?
EMPANGAN KELAU
Ekspedisi Sumber Air (EKSAN) 2025 menyusuri Lembangan Sungai Pahang anjuran Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Malaysia selama tiga hari dua malam dari 30 Jun hingga 2 Julai lepas membuka mata penulis tentang kepentingan menjaga sungai sebagai jaminan terhadap sumber bekalan air negara.
Kira-kira 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, penyelidik dan pengamal media termasuk penulis, dibawa melawat ke beberapa lokasi termasuk Empangan Kelau di Felda Kelau, Sungai Kelau, iaitu lima kilometer di hulu Sungai Bilut, Bentong.





Menurut Naib Presiden 1 Air Selangor, Jaffry Rabu, Empangan Kelau ialah satu daripada komponen Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat bermula 2009, dengan kapasiti takungan 147,100 juta liter air, bertujuan menampung keperluan Lembah Klang.
Empangan ini berkemampuan membekalkan 1,890 juta liter air mentah sehari ke Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 menerusi terowong air sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa dan merupakan terowong air terpanjang di Asia Tenggara. Terowong ini juga digunakan untuk pemindahan air dari Sungai Semantan melalui muka sauk Semantan ke LRA Langat 2.
“Jika LRA Langat 2 beroperasi, (Empangan Kelau) berupaya menampung lebih kurang 20 peratus bekalan air di Selangor dan selebihnya dari empangan lain di Selangor,” jelas Jaffry.
Selain Empangan Kelau, tujuh lagi empangan milik Air Selangor ialah Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi (Hulu Selangor), Empangan Tasik Subang (Petaling), Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih (Hulu Langat), Kolam Off River Storage Labu (Sepang), Empangan Klang Gates dan Empangan Batu (Gombak).
Menurut Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), menerusi laporan sebuah akhbar tempatan pada 17 Jun lalu, fasa pertama projek LRA Langat 2 dengan anggaran kos RM4.2 bilion yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan, telah siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi secara rasmi Ogos depan.
TAMAN NEGARA PAHANG
Keesokan harinya, kami dibawa ke Taman Negara, menaiki bot menyusuri Sungai Tahan dan Sungai Tembeling yang merupakan sebahagian daripada Lembangan Sungai Pahang.
Bermula dari daerah Jerantut di barat Pahang dan merentasi beberapa daerah lain di negeri itu sebelum berakhir di Laut China Selatan di sebelah timur, Sungai Pahang yang panjangnya 459 kilometer ialah sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Sungai yang terhasil daripada pertembungan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling di Banjaran Titiwangsa itu merupakan nadi kehidupan sebahagian besar penduduk Pahang – sebagai jalan perhubungan utama, sumber rezeki dan air untuk kegunaan harian mereka – pada zaman dahulu.
Dalam perjalanan dari Jeti Taman Negara Kuala Tahan, selain menikmati pemandangan alam semula jadi indah yang menempatkan lebih 200 spesies mamalia, 380 spesies burung dan ribuan spesies serangga serta reptilia jarang ditemukan, kami turut singgah di beberapa lokasi terkenal di sepanjang Sungai Tembeling.
Antaranya, Kampung Orang Asli di Jeram Dedari yang didiami oleh kira-kira 30 penduduk suku kaum Batek; Lata Berkoh yang menempatkan air terjun semula jadi dikelilingi hujan tebal; serta Santuari Ikan Kelah yang dibangunkan oleh Jabatan Perhilitan sebagai zon konservasi ikan kelah yang turut digelar ‘raja ikan sungai’.
Berlatarbelakangkan keindahan dan kejernihan air yang mengalir dari Lata Berkoh ke sungai-sungai utama seperti Sungai Tahan dan Sungai Tembeling, kami diberi taklimat dan demonstrasi pengambilan sampel air oleh kru daripada Fakulti Kejuruteraan Kelautan dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu yang diketuai oleh pensyarah kanannya, Dr Mohd Sofiyan Sulaiman.
Mohd Sofiyan berkata penentuan kualiti air melibatkan pengukuran parameter pH, oksigen terlarut (DO), permintaan oksigen biokimia (BOD), permintaan oksigen kimia (COD), ammoniakal nitrogen (AN) dan pepejal terampai (SS).
“Ukuran tersebut dihitung dan dijadikan Indeks Kualiti Air (IKA) keseluruhan yang digunakan untuk mengklasifikasikan sungai sama ada bersih (81-100 peratus), sederhana tercemar (60-80 peratus) atau tercemar (0-59 peratus).
“Kemerosotan status IKA bagi sungai-sungai yang dikaji bukan sahaja memberi kesan kepada hidupan air, bahkan membataskan penggunaan sumber air kepada manusia umpamanya untuk aktiviti harian,” katanya.
Menurut beliau, selalunya pemantauan kualiti air itu dilakukan oleh JPS dan Jabatan Alam Sekitar dengan mengambil sampel air secara ‘composite sample’, iaitu diambil di beberapa lokasi sepanjang sungai dengan kedalaman sekurang-kurangnya 0.5 meter dari permukaan.
“Bacaan nilai pH selalunya akan diambil secara ‘on site’ dengan menggunakan meter mudah alih dengan kadar segera, kerana perubahan pada suhu air boleh menjejaskan nilai pH dalam masa singkat,” katanya.
SUMBER DAN BEKALAN AIR
Mohd Sofiyan berkata terdapat perbezaan makna dari segi istilah sumber dan bekalan air, dengan sumber merujuk air mentah yang tersedia di sungai, tasik ataupun empangan, manakala bekalan air pula ialah sumber air yang telah dirawat di LRA.
Katanya, berdasarkan data setakat tahun lepas, sebanyak 340 LRA dibina di negara ini dengan 80 peratus sumber air diambil dari sungai untuk membekalkan air bersih bagi kegunaan domestik dan industri.
“Kalau kita lihat kepada kapasiti loji semasa, dalam satu istilah kita namakannya sebagai margin simpanan yang merujuk… katalah permintaan air sebanyak 100 juta liter dan loji kita mampu menghasilkan 120 juta liter, maksudnya kita ada margin lebihan sebanyak 20 peratus.
“Menurut data terkini, kita ada margin simpanan yang agak sihat, iaitu dalam 15 peratus dengan tiga negeri ada margin simpanan tinggi iaitu Pulau Pinang (30 peratus), Perak 26 peratus dan Terengganu 25 peratus.
“Jika sesebuah LRA itu mempunyai margin simpanan tinggi, maka ia akan ada lebihan air yang boleh digunakan pada waktu kecemasan, terutamanya ketika musim kemarau,” katanya, menambah selalunya margin simpanan bergantung pada saiz LRA dan kapasiti permintaan air semasa di negeri berkenaan. – Bernama

