Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, orang ramai khasnya para penjaja diingatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan dan peka terhadap undang-undang dalam mengenal pasti kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk menjalankan sebarang perniagaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, di sini, diingatkan bahawa mendirikan apa jua struktur dalam kawasan awam seperti di kawasan premis perniagaan khasnya kawasan kaki lima, petak letak kenderaan serta landskap adalah melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 yang mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi $200,000 atau $10,000 jika kesalahan berterusan.
Manakala mendirikan struktur di atas jalan atau rizab jalan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya yang mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda dan penjara tiga bulan.
Jabatan berkenaan menyatakan jika tempat petak letak kenderaan awam khususnya di kawasan kawasan komersial digunakan untuk meletakkan gerai-gerai jualan, ia akan mengakibatkan kekurangan petak kenderaan awam yang telah ditetapkan yang mana boleh menyebabkan kenderaan diletak di kawasan yang tidak teratur sekali gus menimbulkan kesesakan lalu lintas.
Pembinaan struktur-struktur atau gerai yang tidak teratur juga boleh menimbulkan risiko bahaya kepada para pejalan kaki dan pengguna jalan raya terutama ketika cuaca hujan dan angin kencang.
Oleh itu, para penjaja dinasihatkan untuk merancang lebih awal dan berhubung dengan agensi-agensi yang berkenaan bagi mendapatkan tempat bersesuaian untuk berniaga khusus di dalam kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti bagi menjalankan kegiatan berniaga.
Dalam hubungan itu, mematuhi undang-undang dan turut sama dalam menjaga persekitaran dan kesejahteraan awam merupakan tanggungjawab bersama.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan perlanggaran akta dan peraturan, boleh menghubungi Talian Darussalam 123.
