Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Program Bandarku Ceria kembali dimeriahkan dengan gerai-gerai jualan berdekatan dengan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien hari ini susulan pengumuman kebenaran aktiviti berjaja baru-baru ini.
Wartawan Media Permata hari ini berkesempatan meninjau suasana Bandarku Ceria dan bertemu dengan para penjaja bagi mengetahui perasaan dan pendapat mereka tentang kebenaran berjaja semula itu.
Awang Ibrahim bin Haji Jumarali dari Syarikat Izzwazsya Enterprise, perkhidmatan sewa basikal, skuter elektrik dan beca, melafazkan rasa syukur kerana diberikan peluang untuk berjaja kembali di Bandarku Ceria setelah empat bulan.
“Ini merupakan kerja sampingan kami untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Terdapat juga peniaga-peniaga di sini yang bergantung sepenuhnya pada perniagaan di sini di mana di sinilah mata pencarian mereka, mereka itu yang perlu difikirkan kerana mereka juga ada benda-benda yang perlu dibayar. Tanpa perniagaan ini, ia sangat menjejaskan mereka,” tegasnya.
“Dengan kembalinya kebenaran untuk berjaja semula ini, diharap semua akan kembali seperti biasa bagi para penjaja,” tambahnya.


Beliau juga berharap agar tapak yang sebelum ini mereka gunakan selama tiga tahun semasa sebelum berlakunya COVID-19 di negara ini, akan diberikan semula dan pada masa yang sama menerapkan SOP yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan dengan membuat penjarakan antara gerai penjaja.
“Tapak yang diberikan kepada kami pada hari ini tidak berapa strategik untuk perniagaan kami selaku penyewa basikal ini kerana mereka yang selalu membuat aktiviti senaman berada di sebelah dan di kawasan kami ini biasanya tempat orang mencari makanan.”
Awang Ibrahim berserta keluarganya sedia maklum bahawa pengumuman ini baru saja dimaklumkan pada Jumaat lepas dan jarak harinya terlalu singkat, namun beliau memahami keadaan dihadapi pihak pengurusan dan berharap ia akan diteliti lagi dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan dan para penjaja di sana.
Pemilik Gerai YS Family, Dayang Sharifah binti Ghani yang menjual makanan dan minum pada program itu, mengongsikan perasaan gembira kerana peluang berniaga dibukakan sekali lagi.
“Alhamdulillah, lama sudah kami tidak berdagang dan akhirnya pada hari ini, saya berasa bersyukur kerana kerajaan membenarkan semula,” kongsi Dayang Sharifah.
“Kami juga bersyukur atas nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung penularan COVID-19 ini. Insya allah kami akan sama-sama bekerjasama mematuhi syarat-syarat yang diberikan kerana kami pasti ianya adalah yang terbaik,” tambahnya lagi.
Beliau juga mengongsikan bahawa mereka selaku penjaja yang menjual makanan mesti mematuhi syarat-syarat yang diberikan seperti menggunakan penutup mulut dan hidung, menyedia dan menggunakan pensanitasi tangan dan sebagainya perihal makanan sangat perlu diawasi akan kebersihannya terutama semasa COVID-19 ini.
Dayang Sharifah juga berharap agar peluang untuk berjaja itu akan kekal diteruskan pada hujung minggu semasa Program Bandarku Ceria.
Salah seorang lagi penjaja, Awang Muhd Bahruddin bin Haji Samion, yang menjual pakaian di Bandarku Ceria turut bersyukur.
“Alhamdulillah, dapat juga saya dan isteri mencari rezeki yang lebih selain bergantung kepada pekerjaan harian kami,” kongsinya.
Menurutnya, semasa aktiviti penjajaan ditutup, mereka hanya mengharapkan perniagaan dalam talian sahaja dan berharap dapat terus berjaja di Bandarku Ceria setiap hujung minggu.