Thursday, December 5, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjara 3 tahun, 2 sebatan kerana curi

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Mahkamah Perantaraan kelmarin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan dan dua sebatan ke atas seorang lelaki penduduk tetap kerana kesalahan mencuri.

    Hakim Hajah Hazarena binti POKSJDP Haji Hurairah menjatuhkan hukuman itu ke atas Rosyadi bin Abdullah setelah dia mengaku bersalah ke atas tuduhan memecah masuk kedai pada waktu malam untuk mencuri.

    Hakim telah pun memberikan pengurangan hukuman berbanding hukuman asal selepas tertuduh mengaku bersalah.

    Pendakwa Raya Aeny binti Zullizam dalam dalam fakta kes mendedahkan bahawa tertuduh telah merangka satu rancangan mengadakan pertemuan bersama rakannya di rumahnya untuk tujuan mencuri dari sebuah kedai serba neka di Kampung Lumapas.

    Pada malam 25 Januari, kedua-duanya menuju ke kedai itu dengan membawa guni mengandungi tuil besi dan pemotong besi.

    Kedua-duanya menyedari bahawa kedai itu masih dibuka dan memutuskan untuk menunggu sehingga ia tutup.

    Selepas mendapati semua pekerja kedai sudah balik, mereka kembali ke kedai dan menggunakan penyapu untuk mengalihkan kamera CCTV apabila menyedari ada peranti itu.

    Mereka memotong mangga kunci dan membuka pintu dengan alat yang dibawa.

    Tertuduh memasuki kedai dan rakannya bertindak sebagai pengawas keadaan, kemudian bergerak ke meja juruwang dan menutup kamera CCTV.

    Dia kemudiannya mengambil wang tunai dan kad tambah nilai telefon mudah alih dari laci.

    Rakannya kemudian memasuki kedai dan bersamanya mencari barangan yang boleh dicuri.

    Kedua-duanya meninggalkan kedai dan tertuduh memberikan rakannya wang tunai berjumlah kira-kira $1,000 kemudian menghala ke haluan masing-masing.

    Kecurian itu disedari oleh pekerja kedai yang kembali ke kedai itu semula, namun mendapati ia tidak berkunci dan kedai itu telah digeledah.

    Dia membuat aduan di balai polis dan siasatan, dengan bantuan rakaman CCTV yang merakam tertuduh mengalihkan kamera menggunakan penyapu telah membawa kepada penangkapan kedua-duanya.

    Polis menemui sejumlah $4,000 wang tunai dan $570 nilai tambah kad telefon mudah alih.

    Kedua-duanya juga telah menggunakan sebahagian wang tunai dan kad tambah nilai serta selebihnya dirampas.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda