Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Mahkamah Majistret, semalam, telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap seorang lelaki berusia 44 tahun yang mengaku bersalah atas dakwaan cuba mencuri kabel elektrik milik kerajaan.
Hukuman diputuskan oleh Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim terhadap Pengiran Mohammad Kamal bin Pengiran Haji Beswani yang baharu sahaja dibebaskan setelah dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan mencuri tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Aeny Zullizam dalam pendakwaannya menyatakan, defendan membuat cubaan mencuri itu antara 11 dan 11:40 pagi, 28 Ogos dekat substesen di ibu negara.
Seorang kontraktor di bawah Jabatan Perkhidmatan Elektrik ternampak defendan yang kelihatan mencurigakan apabila menggali lubang di lokasi berkenaan dan memaklumkannya kepada seorang kakitangan jabatan berkenaan yang segera memeriksa situasi berkenaan dan membuat laporan polis.
Anggota polis yang tiba tidak lama kemudian terus menahan defendan dan siasatan mendapati bahawa defendan telah menggali lubang di kawasan berkenaan yang mendedahkan kabel-kabel elektrik dan cuba memotongnya menggunakan gunting.