Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjara 8 bulan kerana mencuri

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Seorang lelaki warga China yang mencuri wang berjumlah AS$2,000 ketika dalam penerbangan, dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

    Hukuman penjara dijatuhkan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman terhadap Wu Song, 39, yang mengaku bersalah mencuri wang milik penumpang lain ketika dalam penerbangan dari Hong Kong ke Brunei Darussalam pada 27 Disember 2017 antara jam 2:35 dan 5:30 petang.

    Tertuduh didakwa menyelongkar beg galas dari tempat letak bagasi di bahagian atas tempat duduk penumpang dan mengeluarkan wang dari dompet hitam yang ditemui dalam beg galas itu.

    Tertuduh kemudian pergi ke tandas sebelum kembali semula ke tempat duduknya.

    Perbuatan tertuduh menyelongkar beg galas itu diperhatikan oleh seorang kru penerbangan dan ketika tertuduh pergi ke tandas, kru itu membuat pertanyaan kepada penumpang untuk mengetahui siapa pemilik beg galas itu.

    Sebaik pemilik beg itu memaklumkan dirinya, kru itu terus memintanya untuk memeriksa isi kandungan begnya.

    Pemilik beg itu mendapati wangnya hilang.

    Kru penerbangan memaklumkan perkara itu kepada juruterbang, yang telah melaporkannya kepada kawalan menara Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Tertuduh diberkas sebaik penerbangan mendarat, yang mana dia mengaku telah terlihat dompet itu ketika pemiliknya mengeluarkan barang-barangnya dari beg galasnya, dan memutuskan untuk mencuri dompet itu ketika pemiliknya tidur.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’ Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda