KAHERAH, 31 Dis – Sebuah mahkamah Mesir mensabitkan bekas Presiden Islam Mohammed Morsi dan 19 orang lain semalam kerana menghina badan kehakiman, menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas mereka dalam satu sesi mahkamah yang disiarkan di televisyen.
Kes tersebut membabitkan 25 defendan, lima di antaranya – termasuk aktivis hak asasi yang berpengaruh Alaa Abdel-Fattah dan pengulas politik Amr Hamzawy – didenda 30,000 pound Mesir (AS$1,688) setiap seorang. Abdel-Fattah sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana terlibat dalam satu bantahan haram pada 2013. Hamzawy tinggal dalam buangan.
Kesemua defendan dituduh menghina badan kehakiman dengan membuat kenyataan yang didedahkan kepada orang ramai sama ada di televisyen, radio, media sosial ataupun dalam penerbitan yang didapati menghasut dan menghina mahkamah dan badan kehakiman.
Mahkamah mengarahkan Morsi supaya membayar 1 juta pound Mesir ($56,270) sebagai pampasan kepada salah seorang hakim. Ia juga mengarahkan 23 daripada defendan, termasuk Morsi, supaya membayar 1 juta pound Mesir setiap seorang kepada kesatuan hakim yang dikenali sebagai “Kelab Hakim,” lapor akhbar Al-Ahram.

Juga semalam, sebuah mahkamah lain menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas aktivis berpengaruh dan peguam hak asasi Mahinour el-Masry kerana mengambil bahagian dalam bantahan haram ke atas pemindahan dua pulau strategik di Laut Merah oleh kerajaan kepada Arab Saudi, kata peguam Taher Aboelnasr. Perjanjian 2016 di antara kedua-dua negara mencetuskan bantahan luar biasa di Mesir.
Kes berkenaan membabitkan lima orang. El-Masry dan seorang lagi aktivis, Moatassem Medhat, menerima hukuman penjara dua tahun manakala tiga orang lain diberikan hukuman penjara tiga tahun tanpa perbicaraan, tambah Aboelnasr. Kesemua hukuman itu boleh dirayu.
El-Masry, 31, terkenal dengan kegiatan aktivis beliau dalam kebanyakan gerakan pekerja, dan bagi pihak pelarian Syria dan palestin di Mesir. Beliau bersuara lantang mengenai hak tahanan dan tahanan politik. – AP