JALALABAD, AFGHANISTAN, 3 OGOS – Kira-kira 29 orang terbunuh dalam serbuan ke atas penjara Afghanistan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State, kata para pegawai hari ini.
Pertempuran masih berlangsung di penjara timur bandar Jalalabad, di mana kira-kira 1,700 banduan IS dan Taliban telah ditahan.
Saluran berita IS, Amaq berkata pejuangnya telah melakukan serbuan terbabit, yang menyaksikan ratusan banduan lari sebelum ramai daripadanya telah ditangkap semula.
Serangan yang masih berlaku itu merupakan insiden paling ganas di Afghanistan sejak Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan mengadakan gencatan senjata tiga hari sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang berakhir kelmarin.
IS bukan sebahagian dalam gencatan itu yang pihak berkuasa Afghanistan harapkan akan membuka jalan bagi rundingan perdamaian bersama Taliban pada hujung minggu ini.

Di Jalalabad, jurucakap gabenor Nangarhar, Attaullah Khogyani memberitahu AFP bahawa lelaki bersenjata masih bersembunyi dalam penjara sehari selepas serbuan bermula.
Menurutnya 29 orang telah dibunuh sejauh ini, walaupun jumlahnya dijangka meningkat.
Khogyani berkata pasukan khas setakat ini sudah menakluki empat lantai daripada lima tingkat bangunan di luar penjara di mana para penyerang telah bersembunyi sejak malam kelmarin.
Serbuan berlaku sehari selepas agensi perisikan negara mengumumkan pembunuhan komander tertinggi IS dekat Jalalabad.
Assadullah Orakzai terlibat dalam serangan maut menentang pasukan keselamatan Afghanistan, kata Pengarah Keselamatan Negara pada Sabtu. – AFP