Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang kakitangan kerajaan berusia 46 tahun yang mengaku bersalah melakukan pecah amanah melibatkan jumlah hampir $12,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mendedahkan bagaimana Hajah Masburah binti Haji Matali melakukan jenayahnya secara berhati-hati dalam pelbagai kesempatan antara 4 Mac 2017 dan 3 Mac 2018 dan antara 5 dan 22 Mac 2018.
Hakim Mahkamah Perantaraan, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar mendengarkan bahawa Hajah Masburah bekerja sebagai penolong kerani secara open vote di Unit Sukatan dan Timbangan, Pusat Standard Kebangsaan, Cawangan Tutong, di Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri.
Skop kerjanya, termasuk menerima bayaran daripada syarikat dan individu, membuat laporan hasil mingguan dan mendepositkan wang itu ke bank.
Perbuatan defendan mula disyaki apabila ketua Pusat Standard Kebangsaan dimaklumkan bahawa catatan dalam dua buku resit yang diberikan kepada defendan kelihatan mencurigakan.
Penyiasatan dalaman telah dilakukan dan mendedahkan ketidakkonsistenan pada baki.
Laporan polis telah dibuat dan mendapati bahawa defendan telah menyalahgunakan sejumlah $11,875 sepanjang tempoh tersebut.
Selain itu, defendan juga didapati menerima bayaran, mengeluarkan resit asal dalam jumlah yang sama, tetapi merekodkan jumlah yang lebih rendah dalam salinan pendua dan buku tunai.
Defendan memberitahu penyiasat bahawa dia telah menggunakan wang itu untuk membeli minyak kereta dan membayar hutang peribadinya.