Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjawat awam didapati terlibat transaksi penipuan RM10.4 juta

    KUALA LUMPUR, 19 MEI – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengesan transaksi penipuan oleh penjawat awam, membabitkan kerugian RM10.4 juta di sebuah jabatan persekutuan.

    Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad berkata kes itu merupakan antara yang dikenal pasti membabitkan penipuan transaksi dana awam antara 2019 hingga 2024, yang keseluruhannya melibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM18 juta.

    “Ini termasuk satu kes yang melibatkan penjawat awam, dengan jumlah RM10.4 juta yang berlaku di sebuah jabatan persekutuan. Tindakan susulan sudah diambil oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP), hari ini.

    Majlis itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

    Nor Yati berkata modus operandi penipuan yang dikesan melibatkan manipulasi sistem kewangan, selain perubahan kepada proses dan prosedur perakaunan.

    Beliau berkata pihaknya kini mengambil langkah proaktif dengan menggunakan teknologi digital untuk menganalisis data kewangan, bagi mengesan transaksi mencurigakan atau yang menunjukkan petunjuk awal.

    “Jabatan ini tidak hanya bergantung kepada laporan pihak ketiga, sebaliknya mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi untuk mengesan penipuan. Pendekatan ini kini menjadi sebahagian daripada proses kerja standard di JANM dan akan diteruskan secara berterusan,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda