Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjawat awam dinasihat berpolitik di landasan betul

    SEMPORNA, 30 Mac – Penjawat awam di negeri ini yang ingin berpolitik dinasihatkan perlu mengikut tatacara dan landasan yang betul, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban.

    Katanya, selaku penjawat awam adalah tertakluk dengan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam supaya tidak melampaui batas.

    “Walapun negara ini mengamalkan sistem demokratik tetapi mereka (penjawat awam kumpulan pegawai A) yang ingin terlibat politik perlu memenuhi syarat yang dikeluarkan pekeliling semasa dan perintah am termasuk mendapatkan kebenaran daripada Ketua Jabatan masing-masing ,” katanya.

    Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sentuhan jejak kasih zon Tanjung Kapor bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.

    Pada majlis itu seramai 500 warga emas dan kanak-kanak di Zon Tanjung Kapor serta 40 anggota tentera daripada Kem Tentera Pangkalan Hadapan Pulau Sibuan mmenerima sumbangan berbentuk barangan makanan.

    Penerima sumbangan kepada anggota tentera diwakili oleh Panglima 12 Briged Datuk Mohd Nazri Abidin.

    Sementara itu, Ramlee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya berkata amalan sumbangan kepada golongan memerlukan di Semporna merupakan antara inisiatif bagi menyantuni rakyat dan bukan bersifat meraih simpati untuk mengundi Barisan Nasional.

    “Ini bukan perkara baharu, ini perkara biasa dan menjadi amalan dari dahulu pemimpin dan kerajaan kita mendampingi rakyat serta memberi sumbangan bagi meringankan beban rakyat,” katanya lagi yang yakin inisiatif itu dapat merapatkan lagi hubungan kerajaan dan rakyat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda