Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjawat awam diperdaya sindiket Macau Scam

    KUALA LUMPUR, 10 NOV – Seorang penjawat awam wanita kerugian RM822,938 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai polis dan syarikat penghantaran barang sejak seminggu lepas.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata polis menerima laporan daripada wanita berusia 33 tahun itu pada Rabu lalu selepas mendapati wang dalam akaunnya telah berkurangan.

    Beliau berkata mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tempatan mengaku pekerja di pejabat pos di Perlis dan memaklumkan mangsa telah membuat kiriman barangan iaitu dokumen diri dan kad bank ke Miri, Sarawak.

    “Lelaki terbabit memaklumkan kemungkinan maklumat peribadi mangsa digunakan orang lain sebelum mengarahkan wanita itu berhubung dengan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

    “Suspek turut mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah melibatkan kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah, serta meminta maklumat peribadi dan perbankan milik wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek merupakan ahli sindiket Macau Scam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada dakwaan pihak tidak dikenali yang mengaitkan anda dengan mana-mana kes jenayah. Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda