Penjawat awam diserap bantu Kementerian Kesihatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Sejak gelombang kedua penularan COVID-19 tercetus di negara ini, sebilangan penjawat awam di sektor kerajaan telah diserapkan bagi membantu Kementerian Kesihatan di bahagian-bahagian tertentu dan yang diperlukan dalam menangani situasi yang melanda negara pada ketika ini.

Antara bahagian yang diperbantukan semasa pandemik ini adalah bahagian pembahagian catuan makanan bagi menjalankan proses penyusunan serta pengaturan makanan yang akan disalurkan kepada para penerima dan sebagainya.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menyentuh mengenai memberi bantuan di bahagian Talian Darussalam 148, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa berkemungkinan jika para penjawat awam diperbantukan di bahagian berkenaan, mereka haruslah memiliki kefahaman yang lebih mengenai peraturan dan sebagainya. Jika adanya keperluan di bahagian tersebut, mereka boleh dilatih bagi membantu melancarkan lagi bahagian berkenaan.