Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Tema Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) iaitu Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam, Pemangkin Kesejahteraan Negara, terus relevan dalam menghadapi pelbagai isu termasuk cabaran dan peluang yang dibawa oleh teknologi digital.
Di samping itu, ia juga sinonim dengan keadaan masyarakat hari ini yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap kualiti dan kecepatan serta keberkesanan perkhidmatan yang diterima mereka.
“Justeru, warga perkhidmatan awam perlu terus berinovasi untuk memenuhi keperluan yang semakin kompleks. Dengan budaya inovasi, akan dapat membentuk Perkhidmatan Awam yang lebih responsif dan berdaya saing, sekali gus membina kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam.”
Seruan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Kemuncak HPA ke-31, 2024 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Beliau menyembahkan bahawa inovasi adalah juga teras kepada prinsip urus tadbir yang baik, lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan pendekatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyembahkan bahawa dalam forum bersempena Mesyuarat ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) ke-22 yang dipengerusikan oleh Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini, membincangkan potensi integrasi AI dalam sektor awam.
“Ini membolehkan fokus kerja yang lebih strategik melalui automasi serta penilaian semula terhadap keupayaan sektor awam melalui real-time insights untuk meningkatkan ketelusan, tanggungjawab dan keyakinan masyarakat.”
Selain itu, setiap penjawat awam perlu mengutamakan pengembangan kemahiran dan peningkatan pengetahuan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan perubahan dan pembaharuan semasa dalam urustadbir awam yang dinamik dan berdaya tahan.
“Ke arah ini, Skim Perkhidmatan Manusia, yang baru diperkenalkan juga akan membantu memastikan pembangunan kemahiran dan penggunaan sumber manusia yang optimum,” kata Yang Berhormat Pehin.
Beliau juga menyatakan bahawa dalam Mesyuarat ACCSM, satu kenyataan bersama juga telah dikeluarkan untuk memperkukuh strategi ASEAN dalam kesihatan mental dan kesejahteraan. Ia bertujuan mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan warga perkhidmatan awam.