Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjawat awam pemimpin hala tuju perkhidmatan awam

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Warga penjawat awam merupakan pemimpin dan pemangkin perubahan yang akan menentukan hala tuju Perkhidmatan Awam negara ini dan secara langsung menyumbang kepada memelihara kesejahteraan rakyat dan penduduk amnya.

    Ini mustahak kerana dunia hari ini terus bergerak pantas dengan cabaran-cabaran yang dibawanya menjadi semakin kompleks.

    “Malah ketidaktentuan dan perubahan pesat ini turut menuntut kepimpinan untuk lebih responsif, inovatif dan berintegriti.”

    Ia juga perlu digandingkan dengan keupayaan dalam membuat jangkaan masa hadapan berdasarkan analisis trend semasa, memahami pelbagai kemungkinan masa depan dan merancang strategi yang boleh mengadaptasi kepada pelbagai senario.

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) kali ke-31, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) kali ke-35 dan Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort-9 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, kelmarin.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Sijil bagi EDPSGO kali ke-31, EDPMMO kali ke-35 dan YEP Kohort-9 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Menyentuh kepada keupayaan dalam membuat jangkaan masa hadapan, Yang Berhormat Pehin melihat kepentingan dan impaknya dari beberapa sudut iaitu ia mendorong kepada penggubalan dasar yang berdaya tahan yang juga merupakan tunjang utama dalam pentadbiran semasa.

    Dengan mengambil kira kemungkinan perubahan dalam landskap sosial, ekonomi dan teknologi untuk tempoh jangka panjang, ulasnya, akan dapat mengelakkan risiko membangunkan dasar yang akan ketinggalan zaman sebelum sempat dilaksanakan sepenuhnya.

    Sudut kedua, jelas Yang Berhormat Pehin, menerusi jangkaan masa depan yang pragmatik, akan dapat membantu dalam penggunaan sumber secara optimum dan mengelakkan pembaziran daripada pelaksanaan projek-projek yang tidak mampan atau tidak relevan.

    Sudut ketiga ialah kemampuan untuk mengenal pasti risiko-risiko baharu yang mungkin timbul akan membantu perkhidmatan awam untuk lebih bersedia dalam menghadapi krisis dengan lebih berkenan.

    “Ini perlu terutamanya dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan-perkhidmatan teras menerusi kebolehupayaan dalam merancang kerahan tenaga kerja lebih teratur.

    Yang Berhormat Pehin berkata sudut terakhir ialah menerusi kefahaman mengenai jangkaan aliran masa depan akan mendorong perkhidmatan awam untuk lebih proaktif dalam meneroka dan melaksanakan inovasi iaitu bukannya bersifat pasif dan bertindak secara reaktif.

    Beliau menekankan perlunya bagi Perkhidmatan Awam bersifat adaptif terhadap perubahan yang berlaku dalam landskap sektor awam yang kian mencabar.

    “Ini termasuklah keterbukaan kepada pendekatan pengurusan moden lebih-lebih lagi dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi digital masa ini yang sering diperkatakan misalnya kecerdasan buatan (AI) yang berupaya mentransformasi penyampaian perkhidmatan dengan lebih pantas, efisien dan responsif.”

    Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai penubuhan Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam (JTPA) di mana ia merupakan langkah strategik dalam menerajui pembaharuan sektor awam secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21.

    “JTPA berperanan dalam merangka dasar, strategi dan inisiatif transformasi melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation dengan penekanan kepada tadbir urus digital, dasar pro-bisnes serta penyelarasan rentas sektor termasuk penglibatan sektor swasta dan NGO.”

    Kejayaan pelaksanaan transformasi itu, tegas Yang Berhormat Pehin, menuntut komitmen dan kepimpinan setiap penjawat awam sama ada di peringkat penggubalan mahupun pelaksana.

    “Sebagai pemimpin, para peserta kursus ini diharap dapat memainkan peranan penting dalam transformasi ini, dengan mengenal pasti ruang penambahbaikan dan menjadi agen perubahan yang membawa nilai dan impak nyata kepada organisasi dan negara.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda