Oleh Salawati Haji Yahya –
Wajah-wajah ceria dan semangat kemerdekaan jelas terukir di wajah setiap peserta yang terlibat dalam menjayakan Upacara Perhimpuan Agung Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Stadium yang menjadi tumpuan bagi acara gilang gemilang itu mula dibanjiri oleh orang ramai dan peserta acara seawal pukul 6:30 pagi dan waktu inilah dapat dilihat di belakang tabir, gelagat teruja dan ceria peserta yang terlibat mempersiapkan diri masing-masing sebelum acara bermula.
Sementara itu, rakan media berpeluang menemu bual beberapa peserta yang terlibat dalam cara tersebut, yang mana rata-rata peserta melahirkan rasa syukur kerana berpeluang terlibat dalam menjayakan acara Sambutan HK-40 tahun ini.
Pengiran Ahmad Ahmad@Pengiran Sumardi bin Pengiran Haji Metussin dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ketika ditemui, melahirkan perasaan teruja apabila sekali lagi diberikan peluang bagi menyertai acara ini.
“Walaupun penyertaan kali ini bukan yang pertama, perasaan keterujaan itu berbeza daripada penyertaan-penyertaan sebelum ini di mana kali pertama terlibat pada sambutan Hari Kebangsaan yang ke-26 iaitu 14 tahun yang lalu dan kali kedua pada 2023,” katanya.
Beliau yang ketika ditemui dengan mengenakan pakaian lengkap khas persembahan Human LED, melahirkan harapan dengan usia kemerdekaan yang telah memasuki empat dekad ini, selaku rakyat negara dan penjawat awam akan terus menabur bakit kepada negara dalam sama-sama membantu mereali-sasikan Wawasan 2035 selaras dengan tema sambutan, Bersatu Mencapai Cita Negara.
Sementara itu, temu bual media dengan Dayang Surinah@Jaharah binti Haji Gomban dari Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menjelaskan, ini adalah kali ketiga berturut-turut beliau ikut serta dalam acara berkenaan.
“Pada tahun 2022, saya terlibat dalam perbarisan lalu bagi kumpulan kerja sukarelawan semasa COVID-19, manakala pada tahun 2023 pula, saya menyertai acara padang dan ini adalah peluang pengalaman yang bermakna bagi diri sendiri,” katanya.
“Penyertaan yang berbeza setiap tahun sejak 2022 itu memang memberikan kepuasan selain dapat menimbulkan semangat patriotisme dalam diri,” tambahnya.
Beliau turut mengongsikan melalui penglibatan dalam acara ini, ia bukan saja dapat menimbulkan semangat bersatu padu, malah secara tidak langsung dapat memperkukuhkan silaturahim sesama para peserta.
“Jika sebelum ini hanya melihat dari televisyen sahaja, kali ini saya berpeluang menjadi salah seorang daripada ribuan peserta yang lain.”
Selain itu, temu bual media dengan salah seorang peserta perbarisan lalu, Dayang Afsah binti Aripin@Ariffin dari Jabatan Bandaran BSB menjelaskan, ini adalah penyertaan kali kedua beliau sempena Sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau merasa bersyukur dan gembira menjadi di antara ribuan peserta yang terpilih, dengan penyertaan dalam HK-40 ini, ia akan menjadi ristaan kenangan buat diri sendiri.
Sementara itu, Dayang Saharneka, Dayang Syifa dan Dayang Farhana dari Jabatan Bandaran Tutong pula berasa teruja kerana ini adalah kali pertama menyertai acara Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan lebih-lebih lagi ini adalah sambutan yang ke-40 tahun.
Walaupun ini adalah penyertaan yang pertama dalam acara bersejarah negara, mereka berharap akan dapat berpeluang menyertai sambutan hari kebangsaan pada tahun-tahun akan datang.