BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa ia mengambil serius dasar menjaga kerahsiaan termasuk keputusan Penilaian Sekolah Rendah 2018 (PSR) yang dikendalikan secara sulit dan keputusan yang disahkan akan disalurkan kepada pihak berkenaan sahaja.
Kenyataan dikeluarkan berikutan pengesanan keputusan PSR 2018 yang tular di sosial media semenjak ia dikeluarkan kelmarin.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan turut memohon kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan bahan maklumat keputusan PSR tersebut yang boleh menyebabkan ketidakselesaan sesetengah calon dan menjelaskan kerahsiaan maklumat itu.