KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Polis terpaksa melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki selepas mereka enggan memberhentikan kenderaan apabila diarah berbuat demikian oleh anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) di Jalan Kepong di sini pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam kejadian pada kira-kira 7:45 pagi itu, anggota URB telah mengesan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki bersama rakannya dalam keadaan mencurigakan di Taman Pusat Kepong di sini sebelum diarah berhenti.
“Bagaimanapun, suspek bertindak memecut kereta itu sehingga melanggar kenderaan awam… malah suspek juga mengundurkan kereta yang dipandu serta melanggar anggota URB menyebabkan anggota polis terlibat cedera di kaki dan motosikalnya mengalami kerosakan.
“Bagi mempertahankan keselamatan, dua anggota terbabit terpaksa melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kereta suspek dan menyebabkan kenderaan itu terbabas di Jalan Rimbunan, Jalan Kepong,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemukan besi buruk yang dipercayai dicuri. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P9-5A-Bernama_08082023.jpg)