KOTA KINABALU, 31 Dis – Satu letupan berlaku di sebuah kedai emas di Segama dekat sini awal pagi tadi disyaki cubaan pecah masuk ke premis tersebut, namun, tiada barang kemas dilaporkan hilang.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata berdasarkan pemeriksaan polis di lokasi kejadian, letupan itu dipercayai berpunca daripada bahan belerang digunakan penjenayah terbabit.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 2:30 pagi itu, tiada barang kemas dilaporkan hilang berikutan pemilik kedai tidak menyimpan barang kemas berkenaan di premis pada waktu malam.
“Jadi, dalam hal ini, tidak ada kerugian barang kemas, kerugian hanya melibatkan kerosakan pada pintu premis sahaja. Tiada kecederaan dialami dan polis masih meneruskan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Hari Keluarga Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai letupan tersebut daripada orang awam pada pukul 2:45 pagi sebelum sepasukan Unit Pemusnah Bom diarahkan membuat pemeriksaan di lokasi kejadian. – Bernama