BERLIN, 11 JULAI – Penjenayah siber semakin berani menyasarkan pentadbiran awam, universiti dan pejabat doktor di Jerman, menurut presiden Pejabat Polis Jenayah Persekutuan (BKA), Holger Munch, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Ancaman jenayah siber semakin meningkat saban tahun sehingga menjejaskan ekonomi dan sosial. Serangan ini boleh memberi kesan besar, apabila pentadbiran tidak dapat bekerja selama berminggu-minggu.
“Di samping itu, dalam kebanyakan kes bukan sahaja sistem disulitkan, tetapi data sensitif juga dicuri. Jika halangan teknikal agak rendah, ia dengan mudah menarik penjenayah siber,” kata Munch kepada akhbar German Funke Media Group dalam satu wawancara yang diterbitkan hari ini.
Pendakwaan adalah proses yang panjang dan juga menjadi lebih sukar dibuktikan dengan fakta dan pelaku biasanya berpangkalan di luar negara.
Agensi penguatkuasaan undang-undang baru-baru ini telah berjaya mengambil tindakan terhadap pasaran dalam talian haram, seperti Hydra Market atau perkhidmatan pengubahan wang haram, ChipMixer.
“Secara keseluruhan, kami telah merampas lebih 100 juta euro (AS$110 juta) membabitkan dua kes ini,” kata Munch. – Bernama