Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjual sayur warga emas maut dalam kemalangan

    SIBU, 11 OGOS – Seorang wanita warga emas maut apabila kereta dinaikinya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di kilometer 86 Lebuh raya Pan Borneo Sibu-Bintulu, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata Dijah Lalei, 65, yang dalam perjalanan ke pasar tamu Pekan Selangau untuk menjual sayur, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5:30 pagi itu.

    “Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku apabila kenderaan Proton Iswara dipandu seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun dalam perjalanan ke pekan Selangau dari arah Bintulu telah dilanggar dari belakang oleh sebuah SUV jenis Mitsubishi Pajero Sport semasa tiba di tempat kejadian.

    “Akibat perlanggaran tersebut Dijah yang duduk di tempat duduk belakang telah mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam kenyataan.

    Pemandu Proton Iswara bersama seorang lagi penumpang wanita berumur 61 tahun yang duduk di hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Ketiga-tiga mereka merupakan penjual sayur di pasar tamu tersebut.

    Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut dan polis telah mengenal pasti serta sedang mengesan pemilik SUV berkenaan. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda