Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjual senjata mainan disiasat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Seorang lelaki tempatan disiasat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana menjual barangan permainan yang menyerupai senjata api.

    Menurut PPDB, semasa pemeriksaan dijalankan, keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB) turut menemukan barangan bukti berupa permainan menyerupai senjata api jenis M16 dan sniper.

    Suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis BSB bagi siasatan lanjut dan seterusnya dirujuk kepada pihak berwajib bagi pengesahan dan laporan pakar.

    Dalam kenyataan itu, PPDB mengingatkan orang ramai bahawa memiliki ataupun menjual barangan dan peralatan yang menyerupai senjata api di mana-mana platform media sosial adalah menjadi kesalahan di bawah peruntukan undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

    Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun, bunga api, mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan.

    Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan.

    Bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan, mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000.

    Sementara itu, Seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam, atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250.

    Orang ramai diingatkan tidak memiliki atau menjual barangan menyerupai senjata api di mana-mana platform media sosial. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda