Tuesday, January 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjualan dadah meth meningkat drastik di Afghanistan – PBB

    KABUL, 10 SEPT – Penjualan secara haram dadah perangsang methamphetamine yang menyebabkan ketagihan tegar di Afghanistan telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut laporan PBB yang diterbitkan hari ini, menunjukkan pengembangan pengeluaran dadah susulan tindakan keras Taliban terhadap perdagangan opiat.

    Sejak kembali berkuasa dua tahun lalu, pemerintah Taliban Afghanistan telah membanteras perdagangan tar popi, bahan psiko aktif dalam heroin yang mendatangkan keuntungan berdekad-dekad lamanya.

    Tetapi ketika perdagangan heroin semakin perlahan, Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menyatakan, penyeludupan methamphetamine di dalam dan sekitar Afghanistan telah ‘meningkatkan sejak larangan tersebut’.

    Dengan memantau penangkapan dadah di Afghanistan dan negara jiran, UNODC telah menemui ‘peningkatan drastik, hampir 12 kali ganda dalam rampasan dadah dalam tempoh lima tahun daripada 2.5 tan pada 2017 kepada 29.7 tan pada 2021’, menurut satu kenyataan yang mengumumkan laporan itu.

    Lonjakan dalam rampasan itu menunjukkan pengeluaran dadah yang berleluasa, yang dikenali sebagai kristal meth, yang boleh dihasilkan dengan mudah di makmal sementara, yang sukar dikesan, menurut laporan itu.

    Gambar fail 30 September 2021 menunjukkan beberapa warga Afghanistan berkumpul di bawah jambatan untuk mengambil dadah terutamanya heroin dan methamphetamine di Kabul, Afghanistan. – AP

    Afghanistan mempunyai sumber semula jadi efedrin, bahan penting untuk memasak meth, dalam tumbuhan ephedra, yang tumbuh liar di negara itu.

    Ketika ephedra banyak terdapat di rantau itu, laporan tersebut menekankan pengeluaran meth di Afghanistan berkemungkinan tidak bergantung kepada tanaman itu sahaja, sebahagiannya kerana cabaran untuk menuainya dan jumlah besar yang diperlukan untuk membuat satu kilogram dadah.

    Antara 6,500 dan 11,700 tan ephedra diperlukan untuk membuat 29.7 tan meth yang dirampas pada 2021 di dan sekitar Afghanistan, sebuah negara yang mengeluarkan anggaran 6,200 tan candu pada 2022, kata laporan itu.

    Sumber efedrin lain ialah farmaseutikal seperti ubat selesema dan efedrin gred industri pukal, yang dihasilkan secara besar-besaran di rantau ini.

    “Penyelarasan serantau yang menyasarkan pemindahan dan penyeludupan bahan utama kimia adalah penting untuk menghentikan pengembangan berterusan pembuatan methamphetamine haram di dalam dan sekitar Afghanistan,” kata Ghada Waly, pengarah eksekutif UNODC. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda