MELBOURNE, 26 MEI – Kerajaan negeri Victoria di Australia mengumumkan larangan menjual parang selepas pergaduhan ganas antara geng di sebuah pusat membeli-belah yang mengakibatkan seorang lelaki muda cedera parah.
Premier Victoria, Jacinta Allan, memaklumkan larangan menjual pisau berbilah panjang itu akan berkuat kuasa mulai Rabu ini, selepas insiden pergaduhan melibatkan lapan anggota geng bersenjatakan parang di sebuah pusat membeli-belah di Melbourne pada petang kelmarin.
Seorang lelaki berumur 20 tahun mengalami kecederaan serius dalam pergaduhan tersebut, menurut kenyataan polis. Empat suspek telah ditahan dan didakwa sehingga hari ini.
“Saya akan memperkenalkan seberapa banyak undang-undang yang diperlukan untuk mengeluarkan pisau berbahaya ini tidak lagi berada dalam masyarakat,” kata Allan kepada media.
“Kami akan melaksanakan larangan penjualan parang di Victoria mulai tengah hari Rabu.

Berdasarkan kuasa pengguna, Victoria akan melarang penjualan parang di mana-mana sahaja dalam negeri ini,” tambahnya.
Victoria adalah satu-satunya negeri atau wilayah di Australia yang merancang melarang parang, yang didefinisikan sebagai pisau berbilah panjang melebihi 20 sentimeter. Pisau dapur tidak termasuk dalam larangan ini.
Pemilikan parang juga akan dilarang dengan beberapa pengecualian di Victoria, negeri kedua paling ramai penduduk di Australia, bermula 1 September.
Larangan penjualan parang sepatutnya berkuat kuasa pada tarikh tersebut, dengan tempoh amnesti selama tiga bulan membolehkan orang ramai menyerahkan parang mereka di balai polis atau tempat khas tanpa dikenakan tindakan.
Pemilikan parang di Victoria boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda lebih daripada A$47,000.
England dan Wales melarang pemilikan parang dan beberapa jenis pisau lain sejak September tahun lalu. – AP

