Oleh Raz AS –
Selalu kelihatan berenang di permukaan air, badannya tirus panjang seakan-akan ranting kayu dengan mulut berparuh panjang, itulah ikan yang dikenali sebagai ikan penjulung atau jolong-jolong.
Secara global dalam bahasa Inggeris, ikan ini dikenali dengan nama seperti halfbeak, needlefish dan ballyhoo.
Ikan penjulung merupakan spesies ikan daripada keluarga hemiramphidae, yang mana di dalamnya mengandungi sebanyak 12 genus dan 85 spesies, yang menghuni perairan masin, muara dan air tawar serta berbeza saiz.
Spesies ikan berparuh, yang mana paruh atasnya jauh lebih pendek berbanding paruh bawahnya, ia biasa ditemui dalam saiz kira-kira antara 4 hingga 15cm panjang dengan taburannya meliputi kawasan Atlantik, India hinggalah ke Lautan Pasifik. Sesetengah spesies penjulung seperti longfin halfbeak pernah direkodkan membesar sehingga 55cm panjang.
Mempunyai badan berwarna gelap pada bahagian atas manakala bahagian bawah pula keperakan, ikan penjulung menghuni bahagian atas kolumn air terutama di bahagian permukaan dan memakan benda-benda terapung seperti alga, zooplankton, larva, krustasea dan serangga yang jatuh ke air.
Meskipun tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi, tambahan lagi di negara kita yang mana kemungkinan ramai yang ‘kambang liur’, di sesetengah tempat ikan penjulung sememangnya ditangkap untuk dimakan dan dijual sama ada secara segar ataupun kering dijadikan sebagai ikan masin.
Sementara itu, sesetengah spesies penjulung, terutama yang menghuni kawasan air tawar adalah popular dalam kalangan peminat-peminat hobi akuarium.
Secara lazimnya, ikan penjulung lebih terkenal dijadikan sebagai umpan memancing untuk menjerat spesies gamefish seperti selongsong, mersuji, ikan layaran, tenggiri dan lain-lain. Walau bagaimanapun, terdapat juga pemancing-pemancing yang menjadikan ikan penjulung sebagai sasaran utama mereka.
Ikan ini boleh dipancing menggunakan peralatan set ultra ringan dengan teknik berpelampung bersama perambut panjang sejengkal berumpankan cebisan roti paun atau adunan tepung, iaitu kaedah yang sama dipraktikkan untuk memancing ikan belanak.



