Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PENJURU anjur majlis khatam sempena puja usia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Seramai 80 peserta telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (Penjuru) sempena sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ahli Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, Awang Khairul Anawar bin Haji Abdullah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah.

    Yang Dipertua Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah menyampaikan ucapan di majlis itu. – GAMBAR SERAHAN PENJURU

    Dalam ucapannya, Yang Dipertua Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah antar lain merakamkan rasa sukacita dan penghargaan atas kehadiran para ahli persatuan serta jururawat yang menunjukkan sokongan padu terhadap aktiviti anjuran Penjuru.

    Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan ini akan terus menjadi pemangkin kepada perjuangan ahli-ahli jururawat dalam mendukung dasar dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Selain menjelaskan bahawa Persatuan Jururawat sentiasa berusaha memupuk perpaduan dalam kalangan ahli menerusi pelbagai aktiviti sosial seperti persidangan, kursus pendek, seminar, bengkel, lawatan sambil belajar, perarakan keagamaan serta mesyuarat yang dapat mengeratkan silaturahim sesama ahli.

    Suasana sekitar majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PENJURU

    Majlis disusuli dengan bacaan doa khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ahli Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, Awang Khairul Anawar bin Haji Abdullah.

    Turut hadir menyerikan majlis, Naib Yang Dipertua Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, Dayang Hajah Asmah binti Haji Omar, ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Jururawat, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan, para jururawat dan bidan di tanah air, serta pelajar jururawat dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Majlis tersebut merupakan antara pengisian program tahunan Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (Penjuru) bagi menzahirkan rasa kesyukuran selepas tamat pembacaan 30 juzuk Al-Quran, sekali gus memperingati sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang dikasihi lagi dihormati.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda