Pelakon terkenal Hollywood, Penn Badgley, yang dikenali menerusi siri popular Gossip Girl dan You, menarik perhatian ramai apabila mendedahkan dia menjadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan sebelum tidur.
Memetik laporan ARY News, dalam satu temu bual terkini, Badgley berkongsi bahawa dia sering membaca beberapa ayat daripada kitab suci itu sebagai bentuk meditasi dan renungan.
“Sejujurnya, di meja sisi katil saya ada Al-Quran dan kadang-kadang saya akan bermeditasi dengan membaca satu petikan daripadanya,” katanya apabila ditanya mengenai bahan bacaannya kini.
Namun, pendedahan itu bukan sekadar rutin malamnya.
Badgley turut menyatakan bahawa dia mengamalkan doa setiap pagi, yang mengambil masa kira-kira 15 minit. Amalan itu, menurutnya, membantu dia menemukan semula makna dan tujuan hidup, meskipun hari-harinya sibuk dengan anak-anak dan kerja.
“Walaupun pagi saya agak kelam-kabut, inilah satu perkara yang saya tak pernah abaikan,” ujarnya.
“Kalau saya terkejar masa, saya boleh selesaikan dalam tujuh minit, diikuti dua minit meditasi. Kalau dapat 15 ke 20 minit, itu sudah satu nikmat bagi saya.”
Pendedahan ikhlas aktor berusia 38 tahun itu mendapat reaksi hangat peminat, ramai memuji keterbukaannya dan penghormatan terhadap amalan spiritual pelbagai agama, termasuk Islam. – Agensi
