Pelakon Sean Penn, 60 (gambar) berkeras enggan melakukan penggambaran drama Gaslit sehingga semua yang terbabit dalam produksi itu divaksin.
Penn yang sudah lengkap divaksin menyatakan pendiriannya itu selepas tayangan perdana filem Flag Day, baru-baru ini. Bahkan, dia turut menawarkan diri mengatur usaha pemberian vaksin kepada kru dan pelakon drama terbabit tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Proses penggambaran Gaslit dimulakan sejak April lalu dan Penn sepatutnya masih ada berbaki beberapa minggu penggambaran untuk dilunaskan. Penerbit drama itu, NBCUniversal turut mewajibkan pengambilan vaksin kepada semua yang terbabit dan turut menyediakan klinik vaksin khas di lokasi penggambaran.
Namun, Penn dikatakan masih belum berpuas hati dengan inisiatif itu.
Dia percaya jika seorang itu belum divaksin, dia mampu memberikan risiko berbahaya kepada produksi itu. Gaslit adalah drama berkisar skandal politik pada era 1970an. Penn melakonkan watak John Mitchell iaitu seorang peguam Presiden, manakala Julia Roberts sebagai isterinya Martha. – Agensi