Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Usaha keras pengendali DPMM FC Adrian Pennock membimbing kelab sehingga berjaya menjulang gelaran liga kedua mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Liga Perdana Singapura (SPL) 2019 sempena FAS Nite 2019 di Orchard Hotel Singapura, malam tadi.
Pennock menjadi jurulatih ketiga DPMM FC memenangi anugerah jurulatih terbaik selepas Vjeran Simunic pada tahun 2012 dan Steve Kean pada tahun 2015.
Penyerang Hougang United, Faris Ramli muncul sebagai Pemain Terbaik AIA 2019 dalam senarai yang juga termasuk penjaring gol DPMM FC, Andrei Varankou.
Empat pemain DPMM FC yang dinamakan dalam senarai Pasukan Tahunan SPL ialah Wardun Yussof, Charlie Clough, Blake Ricciuto dan Andrei Varankov.
Penyerang DPMM FC, Andrei Varankou juga meraih Anugerah Penjaring Terbanyak AIA sebagai penghargaan keduanya malam tadi selepas menjaringkan 21 gol musim lalu.

Pemenang lain ialah Barry Maguire daripada Geylang International FC untuk Jaringan Terbaik SPL manakala pemain Home United, Hami Syahin pula dinobatkan sebagai Pemain Muda Tahunan Komoco Motors.
Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), Lim Kia Tong dalam ucapannya berkata, “Kami dengan sukacita membawa bersama sepak bola Singapura sekali lagi untuk meraikan pencapaian pelbagai individu dan pasukan sepanjang musim 2019.”
Tema FAS Nite tahun ini adalah ‘Meraikan Rukun Bola Sepak Singapura’ selari dengan empat rukun FAS iaitu pembangunan belia, pembangunan keupayaan, kecekapan kos dan budaya bola sepak yang bertenaga.
Beliau berkata, “Tahun 2019 menjadi tahun penting kepada bola sepak Singapura. Kami mula melihat hasil positif daripada perancangan yang kami buat dengan peningkatan ketara pada Pasukan Kebangsaan A dan Pasukan Kebangsaan Bawah-23 Tahun yang mendorong peningkatan penyertaan dalam bidang sukan serta sokongan peminat.”
Mengenai kejuaraan SPL, FAS menerima maklum balas positif mengenai inisiatif yang diperkenalkan dalam beberapa musim terakhir. Ramai pemain muda berjaya bersinar dengan beberapa daripada mereka telah terpilih untuk menyertai pasukan kebangsaan.
Lim Kia Tong juga menyerlahkan pemain seperti Hami Syahin, Jacob Mahler dan Zulqarnaen Sulizman telah membuat penampilan sulung pada peringkat antarabangsa manakala pemain seperti Farhan Zulkifli dan Zharfan Rohaizad pula mendapat panggilan sulung untuk menyertai pasukan kebangsaan.
“Bersama bakat muda yang baru muncul, SPL juga menyaksikan musim yang amat kompetitif tahun ini. Juara SPL 2019, Brunei DPMM FC mendapat saingan sengit daripada Tampines Rovers FC dan Hougang United FC dan berjaya mengesahkan kejuaraan ketika permainan masih berbaki dua perlawanan lagi.”