Pennock puji langkah pihak berkuasa tangani COVID-19

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Ketua jurulatih Pasukan DPMM FC, Adrian Pennock memuji tindakan pihak berkuasa dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini sebagai tanda menghormati keputusan mereka terutama mengenai langkah-langkah dalam mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Saya memuji usaha Yang Berhormat Menteri Kesihatan di negara ini. Beliau telah melakukan tugas yang luar biasa dalam memerangi virus,” kata Pennock semasa ditemu bual oleh media selesai sesi latihan di Stadium Mini Jerudong, hari ini.

Dia menambah, “Kami menghormati keputusan Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengenai apa yang mereka lakukan kerana mereka telah melakukan yang terbaik sejak hari pertama.”

Kelab tersebut memasuki minggu kelima sejak mereka kembali berlatih tetapi berlatih tanpa bola, sesuai dengan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Ini merupakan minggu kelima bagi kami sekarang. Beberapa minggu pertama sama seperti kami lakukan dalam pramusim. Kami telah melakukan seperti pramusim tetapi tanpa bola sepak,” jelasnya.

Antara pemain DPMM FC semasa menyertai sesi latihan dengan mengikut langkah-langkah dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

DPMM FC juga telah mengikuti garis panduan sukan dalam sukan berpasukan di mana lima pemain sahaja dihadkan dalam satu masa.

Latihan mereka serupa dengan aktiviti pramusim seperti berlari di bukit, trek, gim dan sekarang berenang yang telah dibenarkan baru-baru ini dengan penjarakan sosial dititikberatkan. Pennock juga memuji pemainnya yang kembali menjalani latihan.

“Para pemain melakukan yang terbaik dan mereka cukup mengagumkan. Saya suka mereka dan setiap pemain yang ada di sini kerana mereka bekerja keras,” tekannya.

Dengan skuad yang dianggotai seramai 22 pemain, melakukan persiapan latihan, menyaksikan jumlah pemain yang terhad di lapangan dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan sesuai dengan panduan penjarakan sosial.

“Kami menghormati apa yang ditegaskan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dengan panduan penjarakan sosial. Kami akan melakukan segalanya mengikut arahan dan menghormati keputusan semua orang.

“Kami ingin kembali bermain bola sepak tetapi kesihatan dan keselamatan semua orang lebih penting,” tambahnya.