KUCHING, 31 DIS – Satu daripada dua kes positif terbaharu COVID-19 (kes ke-1,116) yang dikesan di daerah Miri membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia yang bertugas sebagai penolong juruterbang di sebuah syarikat penerbangan serantau mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah, Labuan dan Sarawak.
Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini memaklumkan bahawa perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1,117.
Menurut kenyataan itu, juruterbang terbabit yang bukan berasal dari Sarawak telah mendapatkan rawatan kesihatan dan menjalani ujian saringan COVID-19 pada 29 Dis lepas di sebuah hospital swasta kerana mengalami sakit tekak sejak 28 Dis.
Ujian saringan itu didapati positif pada 30 Dis dan siasatan awal menunjukkan beliau pernah melakukan tugasan penerbangan dengan bermalam, pergi dan balik ke Kota Kinabalu, Sabah dari Miri pada 21, 24 serta 26 Dis sebelum mengalami tanda dan gejala jangkitan COVID-19 pada 28 Dis.
Sebelum ini, beliau pernah melakukan ujian saringan COVID-19 pada 14 Dis lepas namun keputusannya adalah negatif.
Juruterbang terbabit juga pernah melawat beberapa premis makanan dan pusat membeli-belah di sekitar Miri dan pada 30 Dis, melakukan penerbangan dari Miri ke Lawas, Ba’ kelalan serta Bario.
“Selain itu, beliau pernah mengunjungi beberapa premis makanan di Lapangan Terbang Miri dan sebuah restoran di bandar raya tersebut sebelum dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut pada malam 30 Dis lepas,” menurut JPBN Sarawak. – Bernama