Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof telah bertolak ke Selangor, Malaysia hari ini sebagai wakil kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, untuk membentang ucaptama bertajuk ‘Hukum dan Fatwa Kutipan dan Agihan Zakat: Pengalaman Brunei’ dalam Muzakarah Zakat Nusantara Tahun 2023 (Edisi Khas).
Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad.
Muzakarah berkenaan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula esok sehingga 22 Jun di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Ia dianjurkan oleh Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Selangor (LZS).
Antara tujuannya adalah sebagai ajang (platform) untuk mempertemukan para ilmuwan Islam khususnya yang terlibat dalam bidang zakat dan juga para pengamal industri zakat di persada Nusantara untuk berkongsi buah fikiran, pengalaman serta input baharu mengenai perkembangan fatwa-fatwa zakat di negara masing-masing.